10 Mati, Puluhan Masuk Hospital Minum Arak Haram

10 Mati, Puluhan Masuk Hospital Minum Arak Haram

0
SHARE
Gambar sekadar hiasan...

JAKARTA, INDONESIA – Sepuluh orang meninggal dunia dan puluhan lagi dimasukkan ke hospital selepas mereka meminum oplosan (sejenis arak haram) pada hujung minggu lepas.

Kes pertama berlaku di Duren Sawit, Jakarta Timur, di mana enam daripada 11 orang dikejarkan ke Hospital Pondok Kopi, Hospital Duren Sawit dan pusat kesihatan masyarakat di Duren Sawit.

Mereka dilaporkan meminum arak haram bercampur ginseng baru-baru ini.

“Enam daripada mereka meninggal dunia,” kata ketua siasatan jenayah Jakarta Timur Sapta Maulan seperti yang dilaporkan wartakota.tribunnews.com pada Selasa lepas.

Dalam insiden berasingan, tiga individu digegaskan ke Hospital Persahabatan di Jakarta Timur pada Isnin selepas mereka dilaporkan muntah sebelum jatuh pengsan.

“Mereka dikatakan meminum arak haram sebelum datang ke satu parti di Cipinang Besar Utara, Jatinegara, pada Sabtu,” kata jurucakap Polis Jakarta Argo Yuwono seperti yang dilaporkan tribunnews.com.

“Setakat ini, keadaan kesihatan mereka beransur baik,” katanya.

Polis kini sedang menjalankan siasatan ke atas kedua-dua kes tersebut.

Sementara itu, empat meninggal dunia selepas mereka meminum arak haram di Jagakarsa, Jakarta Selatan, pada malam Ahad lepas, sementara empat yang lain sedang menerima rawatan di Hospital Tugu Ibu menurut laporan tempo.co pada Selasa lepas.

“Kami sedang menyiasat kes ini dengan menganalisa arak tersebut dalam makmal dan menjalankan bedah siasat terhadap salah seorang daripada mangsa,” kata Ketua Polis Jakarta Selatan Indra Jafar.

Salah seorang daripada mangsa yang terselamat memberitahu polis bahawa rakan mereka membeli arak ginseng itu daripada sebuah kedai di Jalan Almaliyah Kampung Sawah dan satu lagi kedai di Srengseng Sawah pada malam Jumaat lepas sebelum meminumnya bersama-sama di sebuah rumah di Kober, Depok.

Mereka digegaskan ke Hospital Tugu Ibu baru-baru ini selepas mereka dilaporkan berasa pening, loya dan sakit perut.

Polis Jakarta Selatan menahan pemilik kedai berkenaan untuk proses soal siasat.