1,200 Penunggang Motorsikal Sertai Program #QuranHour

1,200 Penunggang Motorsikal Sertai Program #QuranHour

0
SHARE

SHAH ALAM, SELANGOR – Konvoi seramai1,200 penunggang motosikal yang menyertai program Ride for World #QuranHour yang bermula dari Kuala Lumpur selamat tiba di Kompleks Kumpulan Media Karangkraf di sini pada kira-kira pukul 6 petang tadi.

Ketibaan konvoi berkenaan yang mengiringi dua Duta QuranHour, selebriti Datuk Rosyam Nor dan Norman Hakim disambut oleh kira-kira 200 pengunjung dan anggota pengurusan atasan Kumpulan Media Karangkraf.

Konvoi sejauh kira-kira lima kilometer berkenaan singgah ke lima buah masjid iaitu Masjid Negara, Masjid Jamek Sultan Abdul Samad, Masjid Muaaz bin Jabbal, Masjid Ar-Rahman dan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dalam usahanya mempromosikan kempen #QuranHour yang bakal berlangsung pada Khamis depan.

Ketua konvoi, Rosile Saat Al-Gayawi berkata, pada setiap kunjungan masjid-masjid itu sebanyak dua naskah Al-Quran telah diberikan.

“Program ini dilihat berjaya apabila mampu menarik para peserta yang berusia seawal 20an hingga 70an untuk sama-sama memartabatkan pembacaan Al-Quran di kalangan masyarakat Islam,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

“Ini adalah kali pertama program konvoi sebegini dilakukan dan amat berharap dapat diteruskan pada masa akan datang dalam menarik minat golongan muda terhadap aktiviti berunsur kerohanian dan keislaman,” katanya.

World #QuranHour tahun ini diadakan di Masjid Sultan Ahmad Shah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada 7 Jun (22 Ramadan) bermula 11.00 pagi.

Seramai 5,000 umat Islam dijangka turut serta.

– BERNAMA