13 Remaja Menunggang Basikal Lajak Diberkas

13 Remaja Menunggang Basikal Lajak Diberkas

0
SHARE
Basikal lajak yang dirampas...

BANGI, SELANGOR – Seramai 13 penunggang basikal lajak yang melakukan aktiviti secara berbahaya diberkas sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang dan Balai Polis Bangi di Jalan Taman Bukit Mahkota, Bangi, semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner, Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, pihaknya turut merampas 13 basikal yang dipercayai digunakan oleh kumpulan remaja terbabit dalam operasi, kira-kira jam 4.30 petang.

“Sepasukan anggota polis telah pergi ke lokasi itu selepas menerima maklumat daripada orang awam yang mendakwa wujud aktiviti basikal lajak di situ.

“Setibanya di jalan berkenaan, anggota bertugas mengesan aktiviti sekumpulan penunggang basikal yang diubahsuai itu, kesemua individu yang berusia 14 dan 15 tahun itu dibawa ke Balai Polis Bangi untuk siasatan lanjut,” katanya melalui kenyataan yang dikeluarkan semalam.

Ahmad Dzaffir berkata, pihaknya turu tindakan mengeluarkan 13 saman Pol 257 atas kesalahan mengikut Peraturan 42(1)(a) LN 166/59 Kaedah-kaedah Lalu Lintas 1959 kerana ubahsuai tiada brek dan loceng dan juga Peraturan 11 LN 166/69 kerana kesalahan menunggang bawah umur.

“Tangkapan dan sitaan basikal dibuat mengikut Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Peraturan 42(1)(a) LN 166/59 Kaedah-kaedah Lalu Lintas 1959.

“Semua butir-butir ibu bapa remaja ditahan itu turut direkodkan dan diberi penerangan perihal penahanan serta tindakan yang diambil oleh pihak polis,” katanya.