1,344 Saman Dikeluarkan JPJ Membabitkan Nombor Pendaftaran Tidak Ikut Peraturan

1,344 Saman Dikeluarkan JPJ Membabitkan Nombor Pendaftaran Tidak Ikut Peraturan

0
SHARE
Gambar sekadar hiasan...

KOTA BHARU, KELANTAN – Sebanyak 1,344 saman dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan sejak Januari hingga September tahun ini membabitkan pemasangan nombor pendaftaran yang tidak mengikut peraturan.

Pengarah JPJ Kelantan Hanif Yusabra Yusuf berkata daripada jumlah itu, sebanyak 905 saman dikeluarkan kepada pemilik kereta diikuti motosikal (344 saman) dan kenderaan lain (95 saman).

“Kesalahan ini dilihat semakin berleluasa dan pihak kami memandang serius kerana corak dan bentuk nombor pendaftaran yang tidak jelas akan mengelirukan orang ramai serta pihak berkuasa,” katanya kepada pemberita selepas Op Khas Motosikal di hadapan Akademi Pengangkutan Wilayah Timur, Jalan Kuala Krai malam tadi.

Hanif Yusabra berkata operasi selama dua jam itu tertumpu kepada pelbagai kesalahan dengan sasaran untuk mengesan motosikal yang diubah suai serta nombor pendaftaran yang tidak mengikut spesifikasi.

Beliau berkata sebanyak 94 saman telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan selain tiga buah kereta turut disita termasuk sebuah daripadanya menggunakan nombor pendaftaran palsu.

Katanya daripada jumlah itu juga, sebanyak 22 notis saman dikeluarkan kerana mempamerkan nombor pendaftaran kenderaan yang tidak mengikut spesifikasi dan 16 saman kesalahan melibatkan Lesen Kenderaan Motor (LKM) serta insurans tamat tempoh.

“Kesalahan LKM dan insurans yang tamat tempoh tidak boleh dikompaun dan perlu dirujuk ke mahkamah dan boleh dikenakan denda tidak lebih RM2,000 bagi kesalahan LKM dan tidak lebih RM1,000 bagi insurans.

“Kami berharap pengguna lebih peka berkaitan LKM dan insurans mereka kerana sekiranya berlaku kemalangan kenderaan mereka tidak akan dilindungi dan pihak insurans tidak akan memberi sebarang pampasan,” katanya.

Dalam operasi itu juga terdapat satu kes penunggang motosikal bawah umur yang berusia 16 tahun tidak memiliki lesen memandu yang mencuba untuk meloloskan diri daripada sekatan namun berjaya ditahan.

“Saya nasihatkan kepada penjaga atau ibu bapa agar memantau anak-anak di bawah umur daripada menggunakan kenderaan.

“Sekiranya mereka ditahan, pemilik kenderaan yang akan disaman tidak kira penjaga atau ibu bapa dan jika berlaku kecelakaan, ia akan menjadi lebih teruk,” katanya.

– BERNAMA