2 Kakitangan Klinik Kesihatan Cedera Selepas Ambulans Dilanggar Kenderaan MPV

2 Kakitangan Klinik Kesihatan Cedera Selepas Ambulans Dilanggar Kenderaan MPV

0
SHARE
Gambar sekadar hiasan...

KUANTAN, PAHANG – Dua kakitangan Klinik Kesihatan Gambang di sini, cedera apabila ambulans dinaiki mereka dilanggar sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di persimpangan lampu isyarat Jalan Segamat-Gambang di sini, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang Supt Kamarulzaman Jusoh berkata kejadian berlaku pukul 5.40 petang, semasa mangsa yang merupakan seorang jururawat dan seorang pembantu perawatan kesihatan dalam perjalanan mengambil pesakit.

Katanya, pemandu ambulans dan seorang doktor yang turut berada di dalam kenderaan itu tidak cedera.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu MPV jenis Toyota Avanza melanggar sisi kiri ambulans di hujung pembahagi jalan ke arah Gambang. 

“Pemandu MPV semasa itu hendak meneruskan perjalanan ke arah Tol Gambang yang terletak kira-kira 2 kilometer dari persimpangan itu semasa lampu isyarat masih hijau. 

“Ambulans berkenaan pula sudah membunyikan dan memasang lampu siren semasa melalui persimpangan itu,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Kamaruzaman menambah kedua-dua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini.

Katanya, pemandu MPV berusia 36 tahun yang dalam perjalanan seorang diri dari Seremban ke Kuala Terengganu tidak cedera, walaupun bahagian hadapan keretanya remuk teruk.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

– BERNAMA