Seorang Petani Berusaha Pelihara Khazanah Seni Budaya Etnik Dusun

Seorang Petani Berusaha Pelihara Khazanah Seni Budaya Etnik Dusun

0
SHARE
Gondipar Sorioh...

TAMPARULI, SABAH – Tidak mahu seni budaya etnik Dusun khususnya alat muzik tradisional hilang ditelan zaman, seorang petani dari daerah ini berusaha memelihara khazanah berkenaan untuk diwariskan kepada generasi baharu etnik itu.

Gondipar Sorioh, 60, dari Kampung Timbou di sini, banyak menghabiskan masa membuat serta mencipta alat muzik tradisional seperti bungkau dan suling atau seruling, selain mengendalikan bengkel mengajar generasi muda bermain dua peralatan muzik berkenaan.

“Saya lakukan semua itu bukan untuk keuntungan, sebaliknya semata-mata sayangkan warisan tradisional etnik Dusun seperti alat muzik bungkau dan suling yang kian tidak dikenali dan dilupakan generasi muda.

“Saya berharap generasi baharu akan sukakan warisan budaya mereka, sekali gus memelihara khazanah itu daripada hilang ditelan zaman,” kata pemain bungkau dan suling yang terkenal di daerah ini, kepada Bernama, di sini.

Gondipar yang juga ahli Persatuan Seni Budaya Tuaran (PESTA) yang membuat persembahan muzik dan tarian tradisional etnik Dusun di jambatan gantung Tamparuli setiap hari berkata selain dapat memelihara warisan budaya, usaha menghidupkan semula alat muzik berasaskan bambu itu dapat memanfaatkan sumber hutan.

“Langkah itu juga membantu menambahkan bekalan kraftangan tempatan yang dipasarkan menerusi Kraftangan Malaysia, merangsang sumber ekonomi keluarga serta menambah daya tarikan pelancong luar untuk datang ke negara kita,” katanya.

Gondipar berkata kepakaran ayahnya, Sorioh Galais, membuat serta mencipta alat muzik tradisional daripada bambu itu menjadi perangsang kepadanya untuk mempertahankan kewujudan alat muzik tradisional daripada bahan itu seperti bungkau dan suling.

“Walaupun ayah saya meninggal dunia pada usia 60 tahun, namun saya gagal mempelajari secara keseluruhan ilmu membuat dan mencipta alat muzik tradisional yang ada pada beliau.

“Bagaimanapun, saya berusaha mendalami sendiri ilmu berkaitan sehingga mampu membuat, mencipta dan mengajar generasi baharu menerusi bengkel,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap usaha dilakukan itu mendapat perhatian Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah dengan membantu dari segi pasaran serta promosi produk budaya warisan etnik Dusun berkenaan.

– BERNAMA