4 Bangunan Facebook Dikosongkan Serta Merta Akibat Gas Beracun

4 Bangunan Facebook Dikosongkan Serta Merta Akibat Gas Beracun

0
SHARE

SAN FRANCISCO – Empat bangunan milik Facebook Inc (Facebook) diarahkan dikosongkan serta-merta akibat terdapat gas beracun (Gas sarin) dikesan di sebuah fasiliti mel di Ibu pejabat Facebook di sini, pagi ini.

Arahan itu dikeluarkan selepas satu bungkusan yang diterima syarikat media sosial yang terletak di Lembah Silikon itu, didapati positif kandungan toksik.

Ketua bomba Menlo Park, Jon Johnson yang dipetik laporan Reuters berkata bahawa mereka yang menerima bungkusan mencurigakan itu pada jam 11 pagi (waktu tempatan), tidak menunjukkan sebarang tanda terdedah kepada sarin.

“Facebook sudah menguji kesemua bungkusan yang diterima dan hasil ujian adalah positif, jadi mereka hanya mengikut protokol piawaian yang sudah ditetapkan.

“Ketika ini, kami masih menunggu pengesahan sama ada ia (ujian itu) benar atau sebaliknya,” katanya.

Sementara itu, jurucakap Facebook, Anthony Harrison, berkata syarikat itu bertindak mengosongkan empat bangunan miliknya, susulan keputusan ujian adalah positif dan sedang bekerjasama dengan polis untuk menyiasat perkara itu.

“Pihak berkuasa masih belum mengenal pasti bahan yang ditemui. Setakat ini, tiga daripada bangunan yang dikosongkan sudah boleh dimasuki semula,” kata Harrison.

Selain itu, jurucakap Biro Siasatan Persekutuan (FBI) berkata, beberapa ejen dari pejabatnya di San Francisco turut dikerah ke lokasi bagi membantu siasatan.

Sarin adalah sebatian toksik yang boleh menjejaskan sistem saraf dan ia sering digunakan sebagai senjata kimia dan boleh menyebabkan kematian.