42 Juta Liter Air Digunakan Bagi Pengeboman Air Di Indonesia

42 Juta Liter Air Digunakan Bagi Pengeboman Air Di Indonesia

0
SHARE

PALEMBANG, INDONESIA – Sebanyak 42 juta liter air digugurkan melalui helikoplter di wilayah Sumatera Selatan sejak bulan Julai lalu dalam usaha memadamkan kebakaran hutan dan tanah di Indonesia.

Menurut Ketua Agensi Pengurusan Bencana Kecemasan (BPBD) bagi Sumatera Selatan, Ansori yang dipetik laporan portal berita tempatan Antara, sebanyak tujuh helikopter telah digunakan bagi tujuan pengguguran air atau pengeboman air tersebut.

“Jumlah kadar pengguguran air mula meningkat pada akhir bulan Ogos lalu dengan peningkatan kawasan titik panas,” katanya.

Tambah beliau, unit helikopter yang terlibat dalam pengeboman air untuk memadamkan kebakaran hutan dan tanah kini berdepan kesukaran memperoleh sumber air.

Juruterbang dan kakitangan terlibat terpaksa berusaha mencari lokasi sumber air lain untuk diangkut bagi memadamkan kebakaran di kawasan terbabit.

Beliau turut mengesahkan bahawa hanya enam daripada tujuh helikopter akan beroperasi setiap hari.

“Helikopter juga perlu diselenggara sebelum digunakan untuk pener­­ba­ngan,” katanya.Ansori menyatakan, sejak 1 Januari hingga 19 September lalu, ada sekurang-kurangnya 6,416 titik panas direkodkan menerusi usaha pemantauan Institut Angkasa dan Aeronautik Kebangsaan (LAPAN).

Peningkatan paling mendadak adalah pada Ogos lalu dengan 1,308 titik panas dan September (4,541). Jumlah ini dipercayai akan terus me­ningkat susulan banyak kawasan tanah masih terbakar.