46 Suspek Pengedar Dadah Ditahan Polis Di Sarawak

46 Suspek Pengedar Dadah Ditahan Polis Di Sarawak

0
SHARE

MIRI, SARAWAK – Dua warga asing adalah antara 46 suspek yang ditahan dalam Operasi Bersepadu membanteras pengedaran dadah di daerah Lawas, Limbang pada Rabu lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sarawak, Superintendan Sahar Abdul Latif berkata, dua warga asing tersebut ialah seorang wanita warga Filipina, seorang lelaki warga Indonesia dan selebihnya warga tempatan iaitu 41 lelaki serta tiga wanita.

“Turut dirampas ialah selaras senapang patah buatan sendiri, selaras senapang angin, selaras pistol angin dan enam butir peluru hidup,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sahar berkata dalam serbuan yang dijalankan serentak pada 3 petang itu syabu seberat 4.49gram bernilai RM1,257 dirampas daripada suspek-suspek yang ditahan.

“46 suspek yang ditahan disiasat atas pelbagai kesalahan untuk siasatan lanjut dengan jumlah 56 kes disiasat di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952, Akta Senjata Api 1960, Akta Penagih Dadah 1983 dan Akta Imigresen 1959/1963,” katanya.

“Peratus kejayaan operasi adalah pada kadar 85 peratus dan polis percaya operasi ini berjaya memutuskan jaringan bekalan dadah di daerah Lawas pada anggaran 40 peratus,” katanya.

Sahar berkata walaupun jumlah penahanan tidak mencapai jumlah sasaran awal polis iaitu menahan 54 orang yang dikenal pasti sebagai pengedar dadah di daerah Lawas namun operasi tersebut dianggap berjaya kerana berjaya membanteras pengedar dadah kecil-kecilan.

Menurutnya, hasil operasi tersebut aktiviti pengedaran dadah di daerah Lawas akan terhenti selama dua minggu berikutan keputusan bekalan dengan tertangkapnya suspek dipercayai pengedar dadah.

“Tumpuan operasi ialah 11 kawasan di daerah Lawas iaitu Ba’kelalan, Long Semadoh, Sundar, Awat-awat, Trusan, Jalan Lawas Trusan, Lawas Damit, Pekan Lawas, Jalan Punang, Merapok dan Kuala Lawas,” katanya.

Beliau berkata, operasi bersepadu disertai Pasukan Gerakan Am (PGA), Pasukan Gerakan Marin (PGM), Pasukan Gerakan Udara (PGU), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Jabatan Imigresen melibatkan 34 pegawai serta 120 anggota.

– BERNAMA