Ada Pihak Cuba ‘Rasuah’ Anggota RELA Yang Dipukul ‘Datuk Seri’

Ada Pihak Cuba ‘Rasuah’ Anggota RELA Yang Dipukul ‘Datuk Seri’

0
SHARE

KUALA LUMPUR – Ada pihak tertentu cuba menawarkan wang kepada anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) yang dipukul lelaki bergelar ‘Datuk Seri’, Jumaat lalu, untuk menarik balik laporan polis.

Ketua Pengarah RELA Zulkifli Abidin berkata, ada orang tengah menghubungi seorang mangsa dan menawarkan wang berjumlah RM10,000.

“Kami tidak sesekali akan bertolak ansur dalam perkara ini dan tidak akan menerima tawaran berkenaan.

“Ini membabitkan maruah RELA. Kami tidak gentar dan akan membantu siasatan polis,” katanya ketika dalam sidang media.

Seramai sembilan anggota RELA termasuk tiga mangsa yang dibelasah menerima Sijil Penghargaan selepas sidang media berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya berharap dapat menjalankan siasatan dan menahan lelaki berkenaan.

“Saya harap polis dapat jalankan siasatan berhubung kes ini dengan adil dan saksama.

“Walaupun mereka anggota RELA secara sambilan, namun ketika menjalankan tugas, mereka adalah penjawat awam,” katanya.

Portal berita Harian Metro kelmarin melaporkan hanya kerana meminta mengalih kenderaan pelbagai guna (MPV) yang menghalang laluan di hadapan tokong, lelaki yang mengaku dirinya Datuk Seri didakwa memukul tiga anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) kerana tidak menunjukkan hormat kepadanya Jumaat lalu.

Kejadian berlaku di tokong di Ampang di mana satu sambutan diadakan pada pagi Jumaat dan sepasukan anggota RELA bertugas untuk membantu memantau lalu lintas di kawasan itu.