Adakah Isa Samad Tersenarai Sebagai Calon PRU-14?

Adakah Isa Samad Tersenarai Sebagai Calon PRU-14?

0
SHARE
Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad

SEREMBAN, NEGERI SEMBILAN – Masa depan politik pemimpin veteran UMNO, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad bakal ditentukan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) tahun ini.

Nama bekas Pengerusi Felda dan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu dikatakan turut tersenarai untuk dipertimbangkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) negeri itu.

Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, nama pemimpin berusia 69 tahun itu dipertimbangkan sebagai calon berdasarkan kedudukan Mohd. Isa sebagai Ketua UMNO Bahagian Teluk Kemang dan penyandang kerusi Parlimen Jempol.

Bagaimanapun, seperti kebanyakkan calon lain dan tradisi yang diamalkan oleh kepimpinan BN, keputusan untuk menentukan calon hanya akan diputuskan oleh pemimpin tertinggi parti itu.

“Segala keputusan yang dibuat di peringkat atasan saya tidak tahu termasuklah kedudukan beliau (Isa Samad) sama ada bertanding kerusi Parlimen ataupun DUN.

“Kita sudah hantar semua senarai calon dan terserah kepada pucuk pimpinan untuk tentukan,” katanya selepas hadir majlis Perasmian Upacara Pecah Tanah Bangunan Baharu Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Ladang Ulu Kanchong, Taman Forest Height hari ini.

Ketika ini, semua senarai calon PRU-14 bagi Negeri Sembilan telah diserahkan kepada pucuk pimpinan BN selepas Menteri Besarnya mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri di Putrajaya baru-baru ini.

Untuk rekod, Mohd. Isa pernah mengetuai pentadbiran Negeri Sembilan sebagai Menteri Besar dari tahun 1982 hingga 1994.

Sepanjang karier politiknya, beliau juga pernah menjadi Menteri Wilayah Persekutuan sebelum dilantik sebagai Pengerusi Felda, Pengerusi Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV) dan kini memangku jawatan Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

Pada PRU-13 lalu, beliau menewaskan penyanyi era 90-an, Wan Aishah Wan Ariffin yang mewakili PAS dengan majoriti 8,614 undi.