Ahli, Pempimpin PKR Jangan Lalai Terhadap Perjuangan Reformasi Walaupun Kini Berkuasa –...

Ahli, Pempimpin PKR Jangan Lalai Terhadap Perjuangan Reformasi Walaupun Kini Berkuasa – Azmin Ali

0
SHARE

SHAH ALAM, SELANGOR – Anggota dan pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) diingatkan supaya tidak lalai daripada idealisme perjuangan reformasi walaupun parti itu kini berkuasa sebagai pakatan dalam Kerajaan Persekutuan.

Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata ini kerana sejarah mengingatkan bahawa penyakit mendewakan kuasa dan kedudukan telah banyak menjangkiti revolusi pada masa lampau.

“Sama ada Revolusi Perancis mahupun Revolusi Bolshevik bahkan Arab Spring yang bermula dengan agenda luhur untuk memerdekakan rakyat, telah menyimpang dan akhirnya mengkhianati aspirasi rakyat. 

“Ia juga boleh menjangkiti PKR sekiranya kita alpa kepada matlamat dan idealisme perjuangan,” katanya dalam ucapan merasmikan Kongres Nasional Tahunan Wanita PKR dan Angkatan Muda Keadilan kali ke-13, di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), di sini malam ini.

Tegas Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu, semua anggota parti serta reformis yang mencetuskan pembaharuan dan reformasi harus mengambil iktibar daripada sejarah berkenaan dengan golongan muda serta wanita dalam PKR menggalas tanggungjawab besar untuk menggilap idealisme dan mewarisi sebuah perjuangan rakyat yang luhur.

Tambah beliau, gema reformasi kini bukan lagi sebagai slogan tetapi harus ditetapkan sebagai agenda pembangunan negara selaras dengan era pelaksanaannya yang menuntut anjakan minda untuk memiliki pemikiran positif dan mencari penyelesaian.

Dalam pada itu, Mohamed Azmin menyarankan anggota PKR supaya memberi tumpuan kepada mengukuhkan perpaduan dalaman parti yang dilihat sebagai benteng daripada ancaman luar memandangkan proses pemilihan parti yang panjang telah berakhir.

Beliau turut berharap supaya semangat yang ditunjukkan semua anggota parti tidak secara bermusim demi mengukuhkan perjuangan parti berkenaan khususnya di Sarawak yang bakal menghadapi pilihan raya negeri.

“Saya ingin mengucapkan syabas kepada lebih 150,000 anggota PKR yang melaksanakan tanggungjawab demokrasi untuk memilih kepemimpinan parti baru-baru ini. Ayuh, marilah kita membingkai muafakat, bersatu dan bertekad untuk maju ke hadapan,” katanya.

Katanya, PKR juga bukan sekadar mahu mengekalkan kemenangan parti itu di kerusi Ba’kelalan, Kerian dan Batu Lintang, sebaliknya mahu menambah bilangan kerusi dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak.

“Saya ingin mengajak saudara saudari, selesai kongres mari kita berkampung semula di Sarawak kerana saya lihat rakyat Sarawak sedang menanti kehadiran Keadilan (PKR) untuk membawa perubahan dalam Pilihan Raya di negeri itu,” katanya.

Turut hadir pada majlis perasmian itu adalah Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamarudin; Ketua AMK, Nik Nazmi Nik Ahmad; dan anggota Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Amirudin Shari selain hampir 1,500 anggota PKR akar umbi.

– BERNAMA