Akhiri 23 Tahun Tanpa Trofi, Sabah Juara Liga Perdana 2019

Akhiri 23 Tahun Tanpa Trofi, Sabah Juara Liga Perdana 2019

0
SHARE

SHAH ALAM, SELANGOR – Selepas menundukkan Johor Darul Ta’zim II (JDT II) beberapa hari lalu dan Sabah telah mengesahkan tempat mereka akan beraksi di Liga Super 2020, malam tadi skuad Sabah melakar kejayaan bermakna dengan mengesahkan juara Liga Perdana 2019 (Liga Premier Malaysia 2019).

Kejayaan ini hadir selepas skuad Sabah memungut 3 mata penuh dengan menundukkan UiTM FC 2-1 di Stadium UiTM Shah Alam, malam tadi.

Skuad kendalian Jelius Ating yang bermain di hadapan 2700 penonton menamatkan kemarau 23 tahun Sabah tanpa trofi kejuaraan.

Walaupun skuad Sabah menguasai perlawanan dengan beberapa percubaan oleh pemain impot Sabah, Aguinaldo Mendes Veiga dan Rodoljub Paunovic di awal babak pertama, aksi yang penuh mendebarkan malam semalam menunjukkan Sabah tidak berdepan laluan mudah sebelum meraih kejuaraan itu apabila mereka ketinggalan pada minit ke-31 hasil sepakan percuma pemain import UiTM, Zarko Korac pada separuh masa pertama.

Namun, bangkit pada separuh masa kedua, skuad Sabah berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-57 hasil sepakan penalti Rodoljub Paunovic selepas bola terkena tangan pertahanan UiTM.

Aguinaldo muncul wira Sabah apabila meledak gol kemenangan pada minit ke-66 selepas menanduk masuk bola sepakan penjuru Ricco Milus untuk mengesahkan kejuaraan liga milik skuad Sabah.

Sabah menjuarai piala domestik pertama sejak 1996 di mana ketika itu Jelius Ating dan pembantunya Burhan Ajui turut berada dalam skuad juara Liga Perdana (yang kini dikenali Liga Super).