Anak Mabuk, Kelar Leher Bapa Sendiri Hingga Mati

Anak Mabuk, Kelar Leher Bapa Sendiri Hingga Mati

0
SHARE

JEMPOL – Seorang lelaki warga emas ditemui mati dengan kesan kelar di leher dipercayai dibunuh oleh anak lelakinya yang mabuk di Felda Lui Timur dekat sini malam tadi.

Dalam kejadian pukul 10.30 malam itu, mayat S.Valayutham, 73, ditemui oleh anggota polis dalam keadaan terbaring dan berlumuran darah di ruang tamu rumahnya.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Noorzainy Mohd. Noor berkata, sebelum kejadian, polis menerima panggilan ekoran timbul kekecohan selepas seorang lelaki mabuk di sebuah kedai runcit dan kedai makan di kawasan berkenaan pada pukul 8.30 malam.

“Anggota polis telah pergi ke lokasi dan menasihati lelaki berusia 45 tahun terbabit supaya tidak membuat kecoh dan memintanya pulang ke rumah.

“Bagaimanapun, pada pukul 10.30, kami sekali lagi menerima laporan mengenai bunyi bising dari sebuah rumah dan apabila anggota polis memeriksa rumah berkenaan, mereka menjumpai mayat seorang lelaki warga emas berlumuran darah dengan kesan kelar di leher,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Noorzainy berkata, susulan itu, polis sedang menjejaki anak lelaki mangsa iaitu Mohamad Nazri Abdullah, 45, atau dikenali sebagai Chandra Bos yang dikatakan bergelut dengan mangsa sebelum melarikan diri dengan sebuah kereta Naza Citra berwarna merah.

Tambahnya, pemeriksaan polis turut menemui sebilah parang di lokasi kejadian dan kes tersebut diklasifikasikan sebagai kes bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

– K.Online