Angka Kematian ‘Koronavirus’ (COVID-19) Meningkat Naik Ke 242 Kes

Angka Kematian ‘Koronavirus’ (COVID-19) Meningkat Naik Ke 242 Kes

0
SHARE

BEIJING – Angka kematian disebabkan jangkitan ‘Koronavirus’ atau nama rasmi COVID-19 meningkat naik dengan 242 kematian dan hampir 15,000 pesakit baru di wilayah Hubei yang paling teruk terkesan menurut pihak berkuasa kesihatan tempatan pada Khamis.

Bilangan itu menjadikan jumlah kematian akibat virus tersebut di China kini melepasi angka 1,350.

Dalam maklumat kemas kini harian, Suruhanjaya Kesihatan Hubei turut mengesahkan 14,840 lagi kes jangkitan baharu.

Peningkatan besar itu direkodkan ketika pegawai tempatan memaklumkan bahawa mereka sedang memperluas definisi untuk kes COVID-19.

Suruhanjaya berkenaan dalam kenyataannya lagi berkata bahawa ia kini akan memasukkan kes yang ‘didiagnosis secara klinikal’ dalam angka rasminya.

Ini bermakna, pengimejan paru-paru kes yang disyaki dianggap sudah memadai untuk didiagnosis dengan virus berkenaan, berbanding ujian standard asid nukleik sebelum ini.

Berhubung lonjakan angka pada Khamis, ia berkata, pengkelasan baru itu meliputi 13,332 kes dan lebih separuh angka kematian.

Ia berkata, perubahan itu bermakna pesakit boleh mendapatkan rawatan ‘paling awal yang mungkin’ dan ia ‘konsisten’ dengan pengkelasan yang digunakan di wilayah lain.

Ia juga berkata, perubahan itu dibuat kerana “kefahaman kita mengenai pneumonia yang diakibatkan oleh ‘Koronavirus’ baru ini bertambah dan kita telah mengumpul pengalaman mengenai diagnosis dan rawatan”.