Angkara Minum Arak Buatan Sendiri, Lebih 80 Orang Maut Di Indonesia

Angkara Minum Arak Buatan Sendiri, Lebih 80 Orang Maut Di Indonesia

0
SHARE
Gambar sekadar hiasan...

JAKARTA, INDONESIA – Lebih 80 orang dilaporkan maut di Indonesia akibat meminum miras oplosan atau arak buatan sendiri sejak awal April lepas.

Menurut jurucakap Polis Indonesia Insp Jeneral Setyo Wasisto, setakat Rabu, seramai 82 disahkan mati, manakala 82 lagi sedang dirawat di hospital-hospital di Bandung, Sukabumi dan Jakarta.

“Daripada 82 mangsa yang mati itu, 51 daripadanya di Bandung dan Sukabumi, dan selebihnya di Jakarta,” katanya.

Setakat ini tujuh penjual dan pengedar arak buatan sendiri itu ditahan.

“Miras oplosan itu dipercayai dibuat dengan mencampurkan alkohol, ginseng, ubat batuk, ubat kuat, coca cola dan ubat nyamuk,” katanya.

Minuman itu dijual di dalam plastik atau botol (600 ml) pada harga sekitar Rp17 ribu hingga Rp20,000 (RM6).

Kejadian maut akibat meminum arak buatan sendiri sering berlaku sejak 2015 selepas Kementerian Perdagangan Indonesia mengharamkan penjualan minuman beralkohol di kedai-kedai runcit, kedai serbaneka dan kios pada 2015.

Selain itu, cukai eksais yang tinggi turut dikenakan kepada minuman keras dan had jualan di kedai-kedai tertentu dan pusat hiburan sahaja itu menyebabkan orang ramai sukar mendapatkan produk yang sah.

Keadaan itu menyebabkan golongan berpendapatan rendah mencari alternatif arak buatan sendiri dengan mengabaikan bahayanya.