Anwar Bakal Adakan Pertemuan Pertama Dengan Wakil Rakyat PKR 6 Jun Ini

Anwar Bakal Adakan Pertemuan Pertama Dengan Wakil Rakyat PKR 6 Jun Ini

0
SHARE
Dato Seri Anwar Ibrahim...

SHAH ALAM, SELANGOR – Pertemuan di antara wakil rakyat dan calon pilihan raya Parti Keadilan Rakyat (PKR) bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 6 Jun ini akan membincangkan pelbagai perkara.

MyNewsHub.cc melaporkan bahawa ia juga bakal menjadi pertemuan pertama Ketua Umum PKR itu sengan kesemua calon yang bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) baru-baru ini.

Dalam masa sama, mesyuarat tersebut juga akan dilengkapi taklimat mengenai hala tuju masa depan parti berkenaan selain majlis berbuka puasa.

Menurut Naib Presiden PKR, Tian Chua, mesyuarat itu dicadangkan oleh Anwar dan Nurul Izzah yang bertindak menghantar jemputan kepada semua yang terlibat atas kapasitinya sebagai Pengarah Pilihan Raya.

“Anwar mahu bertemu kami semua kerana beliau belum berjumpa dengan semua calon sama ada menang atau kalah dalam PRU-14. Beliau masih belum bertemu dengan kami sejak dibebaskan dari penjara.

“Nurul Izzah sebagai Pengarah Pilihan Raya mengarahkan semua untuk hadir. Semua pemimpin termasuk saya sendiri akan hadir,” katanya memetik laporan Harian Metro.

Tian Chua…

Tian Chua berkata demikian ketika ditanya mengenai mensyuarat yang dijadualkan berlangsung pada jam 3 petang pada Khamis ini serta kehadiran yang diwajibkan.

Jelasnya, pertemuan tersebut tidak mempunyai matlamat atau plot untuk berkomplot menentang parti lain memandangkan mereka kini sudah pun menjadi kerajaan.

Dalam pada itu, lapor portal berita The Malaysian Insight, surat jemputan bagi pertemuan yang dikeluarkan Nurul Izzah turut menyatakan bahawa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sudah mewartakan keputusan PRU-14.

Kandungan surat itu juga menyebut bahawa daripada 113 kerusi parlimen PH, 49 kerusi atau 42 peratus dimenangi PKR, manakala 67 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di semua negeri kecuali Kelantan dan Terengganu dimenangi parti berkenaan.

Sementara itu, Nurul Izzah ketika dihubungi akhbar berkenaan berkata pertemuan di antara Anwar dan wakil rakyat PKR merupakan sesuatu yang biasa dilakukan sejak dahulu lagi.

“Mesyuarat itu, satu kebiasaan untuk parti ini selepas setiap pilihan raya, adalah untuk membolehkan hubungan antara wakil rakyat kami dengan kepemimpinan tertinggi, terutama sekali Anwar,” ujarnya.

Sumber Foto: FMT

Tempoh hari, rakyat membangkitkan kebimbangan apabila mendakwa presiden parti berkenaan yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah menggunakan kuasanya untuk mengadakan mesyuarat itu di pejabat rasminya.

Bagaimanapun, Nurul Izzah mengakui mengambil maklum dengan kebimbangan tersebut dan telah menukar lokasi pertemuan mereka di Hotel One World, Petaling Jaya, Selangor.