Anwar Kembali Ke Parlimen Selepas Menang Besar PRK Port Dickson

Anwar Kembali Ke Parlimen Selepas Menang Besar PRK Port Dickson

0
SHARE

PORT DICKSON – Kerusi Parlimen Port Dickson sah milik Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) P.132 tersebut, semalam, dengan undi majoriti 23,560.

Anwar juga calon Pakatan Harapan (PH) memperoleh 31,016 undi daripada 172 saluran undi sehingga penjumlahan tamat jam 9.15 malam.

Pegawai Pengurus PRK Parlimen Port Dickson, Khairy Maamor mengumumkan kemenangan rasmi Anwar pada pukul 9.20 malam, semalam di Dewan Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD).

Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama isteri Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail mengangkat tangan selepas diisytiharkan menang Pilihan Raya Kecil P.132 Port Dickson di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi, MPPD malam semalam… (Sumber Foto; Kosmo Online)

Anwar, 71, layak bertanding dalam PRK Parlimen Port Dickson selepas mendapat pengampunan diraja daripada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V pada 16 Mei lepas telah menyingkirkan pencabar terdekatnya daripada PAS, Mohd Nazari Mokhtar (7,456 undi) dan bekas menteri besar Negeri Sembilan yang bertanding atas tiket bebas, Tan Sri Isa Samad (4,230 undi).

Empat calon bebas lain pula mendapat tidak lebih 350 undi. Mereka adalah bekas pembantu peribadi Anwar, Mohd Saiful Bukhari Azlan (82 undi), pakar perunding pengurusan, Kan Chee Yuen (154 undi), bekas pensyarah universiti swasta, Lau Seck Yan (214 undi) dan personaliti media sosial, Stevie Chan Ken Leong (337 undi).

“Dengan ini saya mengisytiharkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dari parti Pakatan Harapan telah dipilih sebagai Ahli Dewan Rakyat baharu bagi kerusi Parlimen P.132 Port Dickson,” kata Khairy Maamor.

Sebanyak 58.25% pengundi keluar mengundi sehingga semua pusat mengundi ditutup 5.30 petang tadi, peratusan itu bagimanapun lebih rendah daripada jangkaan SPR sebanyak 70%.

Parlimen Port Dickson mempunyai 75,770 pengundi berdaftar yang terdiri daripada 43% pengundi Melayu, Cina (33%), India (22%) dan lain-lain kaum (2%).

Parlimen Port Dickson mempunyai lima Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Linggi, Bagan Pinang, Sri Tanjung, Chuah dan Lukut, merangkumi 43 peratus pengundi Melayu, Cina (33 peratus), India (22 peratus) dan lain-lain kaum (2 peratus).

Kerusi Parlimen Port Dickson kosong selepas penyandangnya, Datuk Danyal Balagopal Abdullah, 68, meletak jawatan pada 12 September lalu untuk memberi laluan kepada Anwar yang menang tanpa bertanding jawatan presiden PKR, kembali ke Dewan Rakyat.

Dengan kemenangan itu, Anwar dijangka mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen pada esok hari, Isnin, yang juga hari pertama Mesyuarat Kedua, Penggal Pertama Parlimen ke-14 bersidang.

Perkara ini juga merupakan sebahagian daripada pelan Pakatan Harapan (PH) bagi melantik Anwar sebagai Perdana Menteri ke-8 bagi menggantikan Tun Dr Mahathir Mohamad.