Anwar Tidak Akan Memecat Azmin Daripada PKR

Anwar Tidak Akan Memecat Azmin Daripada PKR

0
SHARE
Datuk Seri Anwar Ibrahim...

MELAKA – Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu kenyataannya mengatakan bahawa beliau tidak akan memecat Datuk Seri Mohamed Azmin Ali daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Anwar berkata demikian pada sidang akhbar selepas berakhirnya Kongres Nasional PKR 2019 semalam di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) berhubung kegagalan Azmin untuk  hadir pada hari terakhir Kongres Nasional parti itu, semalam.

“Perkara ini tidak berbangkit. Hal ini hanya disuarakan oleh perwakilan, tidak ada pimpinan yang memberi respons setuju.

“Saya tidak ada masalah untuk berbincang tapi masalah yang disuarakan kuat adalah sentimen parti mahu bersatu, tidak bertolak ansur dengan apa yang mereka anggap menyimpang daripada disiplin.

“Seperti mana saya lihat ucapan Tian Chua umpamanya perlu lebih penjelasan, kita kena faham sentimen itu juga bersebab, kita fikir mereka harus dengar kita tapi mereka kata kita pun harus dengan mereka,” katanya.

Terdahulu, saranan memecat Timbalan Presiden PKR itu disuarakan kebanyakan perwakilan yang hadir susulan ketidakhadiran Mohamed Azmin dan ahli majlis pimpinan yang menyokongnya pada hari terakhir kongres.

Ditanya adakah beliau bersedia untuk memaafkan Mohamed Azmin atas tindakannya itu, Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, beliau sedia untuk memaafkannya.

“Saya ini pemaaf, lagi pun itu bukan soal peribadi, tapi saya kena dengar juga suara dan sentimennya. Tadi saya jawab, saya dengar hasrat mereka (perwakilan) jadi kena bagi ruang sikit,” katanya.

Hari terakhir Kongres Nasional PKR hari ini bermula tanpa kehadiran Mohamed Azmin yang juga merupakan Menteri Hal Ehwal Ekonomi serta pimpinan yang menyokong orang kanan Anwar itu.

Sebaliknya, ketibaan Anwar bersama Pengerusi Majlis Penasihat PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail hanya disambut Naib Presiden PKR, Tian Chua.

Semalam, Mohamed Azmin yang mengadakan sidang media tergempar selepas meninggalkan sesi perbahasan, mendakwa Anwar gagal memenuhi janji memastikan pembahas patuh pada kerangka ucapan dipersetujui dalam mesyuarat khas antara mereka di bangunan Parlimen, Rabu lalu.

Datuk Seri Mohamed Azmin Ali…

Berikutan itu, seramai 22 Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR yang dikatakan menyebelahi pihaknya bersama ratusan perwakilan keluar meninggalkan sesi perbahasan.

Dalam pada itu, Anwar juga memaklumkan beliau turut dijemput ke Majlis Makan Malam Wawasan Kemakmuran Bersama di Hotel Renaissance di Kuala Lumpur, namun tidak dapat menghadirinya kerana mempunyai komitmen lain.

“Tak datang malam ni. Jemput dua hari yang lalu (tapi) saya bagitahu saya ada majlis setiap Ahad malam di rumah saya. Sila datang, terbuka, kita ada sembahyang, zikir sedikit,” katanya.