APM Sabah Keluarkan 2 Kerbau Dari Longkang

APM Sabah Keluarkan 2 Kerbau Dari Longkang

0
SHARE

TUARAN, SABAH – Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Tuaran membantu mengeluarkan dua kerbau betina yang terperangkap di dalam longkang di Sri Gayang, Tuaran, hari ini.

Menurut laporan Harian Metro, pada kejadian 9.15 pagi itu, kerbau betina dipercayai milik penduduk kampung berhampiran itu dikatakan tersesat ke kawasan perumahan terbabit.

Haiwan itu kemudian termasuk ke dalam longkang sedalam 0.91 meter (m), sebelum terperangkap di dalamnya.

Kejadian itu disedari oleh pekerja pejabat pengurusan perumahan berkenaan yang kemudian memaklumkan insiden terbabit kepada pihak berkuasa.

Pegawai APM Unit Tuaran, Paulina Francis berkata, selepas menerima maklumat berhubung kejadian itu, enam anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba, kita dapati ada dua kerbau terperangkap di dalam longkang.

“Anggota APM kemudian mengikat tali pada badan kedua-dua kerbau itu sebelum haiwan itu ditarik secara serentak,” katanya dihubungi.

Menurutnya, kerbau yang bersaiz lebih kecil ditarik oleh enam anggota, manakala kerbau bersaiz lebih besar ditarik menggunakan kenderaan APM.

“Pemeriksaan kemudian mendapati terdapat luka pada kedua-dua badan kerbau itu mungkin kerana haiwan itu tergesel pada longkang,” katanya.

Paulina berkata, haiwan terbabit kemudian dilepaskan semula ke kawasan berhampiran.