APMM Rampas 20 Tong Minyak Di Semporna

APMM Rampas 20 Tong Minyak Di Semporna

0
SHARE

SEMPORNA, SABAH – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) merampas 20 tong minyak petrol dari sebuah bot laju tanpa nombor pendaftaran dalam operasi yang dijalankan di 0.75 batu nautika dari Kampung Sri Aman dekat sini, semalam.

Pengarah Zon Maritim (PZM) Semporna, Leftenan Komander Amiludin Yenggah berkata dalam operasi pada pukul 11.30 pagi, anggota agensi itu mendapati sebuah bot dalam keadaan mencurigakan namun juragannya memecut laju bot itu sebelum terjun ke laut di kawasan cetek dan melarikan diri.

“Pemeriksaan ke atas bot menemukan 20 tong minyak petrol dianggarkan 350 liter bernilai RM11,800,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Amiludin berkata bot laju dan tong minyak dirampas kerana kesalahan di bawah Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002 serta Akta kawalan Bekalan 1961 dan diiring ke jeti Kem Azumi untuk siasatan lanjut.

Beliau berkata Maritim Malaysia komited meningkatkan rondaan dan penguatkuasaan dari semasa ke semasa dan meminta orang ramai menyalurkan maklumat atau aduan mengenai perlanggaran undang-undang di laut dengan menghubungi bilik operasi Maritim Malaysia Semporna di talian 089-782619 atau MERS 999 bagi kes kecemasan di laut.

– BERNAMA