Arab Saudi Menawarkan Visa Pelancongan Buat Pertama Kalinya

Arab Saudi Menawarkan Visa Pelancongan Buat Pertama Kalinya

0
SHARE

RIYADH, ARAB SAUDI – Peluang melancong ke Arab Saudi kini terbuka buat semua pelancong asing selepas negara konservatif tersebut membuat pengumuman kelmarin bahawa Arab Saudi menawarkan visa pelancongan buat pertama kalinya.

Ini sekaligus dilihat sebagai sebahagian usaha untuk meluaskan sumber ekonomi dan tidak lagi bergantung kepada minyak.

Memetik laporan AFP, perkara ini adalah antara fokus utama Putera Mahkota Mohammed bin Salman dalam merealisasikan program reformasi Visi 2030 bagi mempersiapkan ekonomi Arab Saudi selepas era minyak.

Putera Mahkota Mohammed bin Salman…

Pengumuman itu menyusul hanya dua minggu selepas serangan ke atas infrastruktur minyak Arab Saudi dalam insiden yang menggemparkan pasaran minyak dunia dan me­ningkatkan kebimbangan konflik lebih besar tercetus di rantau tersebut.

“Membuka pintu Arab Saudi kepada pelancong antarabangsa adalah detik bersejarah untuk negara kami,” kata Pengerusi Lembaga Pengarah Suruhanjaya Pelancongan dan Warisan Arab Saudi, Ahmed al-Khateeb dalam satu kenyataan akhbar.

“Pelancong pasti terkejut dengan khazanah yang kami akan kongsikan dengan mereka termasuk lima Tapak Warisan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNESCO), budaya tempatan yang meriah dan keindahan alam semula jadi yang memukau,” tambahnya.

Arab Saudi akan membuka permohonan untuk visa pelancong secara online kepada rakyat di 49 negara bermula hari ini, lapor rangkaian berita Bloomberg News yang memetik kenyataan Ahmed.

Ahmed turut berkata, negaranya akan melonggarkan peraturan ketat terhadap pakaian wanita asing, memboleh­kan mereka bergerak tanpa memakai jubah abaya yang diwajibkan kepada wanita tempatan.

Pelancong asing bagaimanapun masih perlu berpakaian sopan, tambah Ahmed tanpa memberi perincian lanjut.Pemberian visa ke Arab Saudi sebelum ini terhad kepada pekerja asing, ahli keluarga mereka dan jemaah haji serta umrah.