ARMADA Sabah Mula Bersuara Bantah Perlaksanaan PSS Untuk Warga Filipina

ARMADA Sabah Mula Bersuara Bantah Perlaksanaan PSS Untuk Warga Filipina

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Kerajaan Warisan di bawah pimpinan Shafie Apdal ditegur lagi, kali ini melalui sayap pemuda ARMADA BERSATU Sabah yang mencadangkan agar pemberian PSS (Pas Sementara Sabah) kepada warga Filipina wajar dikaji semula.

Ketua ARMADA Sabah, Mohd Isquzawan Israq Arsit menyatakan telah menerima pelbagai respon daripada masyarakat Sabah, dan hampir keseluruhannya menzahirkan kebimbangan, dan sebahagian besar daripadanya tidak bersetuju dengan pelaksanakan PSS tersebut.

Ketua ARMADA Sabah, Mohd Isquzawan Israq Arsit…

Menurut sumber maklumat, PSS telah dicadangkan oleh Kerajaan Warisan untuk dilaksanakan melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN) Malaysia.

Sebelum ini Ketua Wanita PKR Sabah, Rahimah Majid turut mengkritik Shafie Apdal apabila ingkar arahan hakim apabila mengarahkan Amarjit untuk terus bekerja walaupun Hakim Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu telah membuat keputusan pelantikan Amarjit Singh sebagai Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah tidak sah.

Sumber dipetik daripada portal berita Harian Ekspres…

Pemerhati politik turut menyifatkan sejak Shafie Apdal menjawat jawatan Ketua Menteri Sabah, tidak ada satu pun projek pembangunan baharu yang telah dilaksanakan untuk manfaat rakyat Sabah, sebaliknya Shafie dilihat lebih mengutamakan program pendokumentasian warga Filipina yang berada di Sabah serta sibuk mewartakan setinggan yang didiami oleh warga asing.

“Kami cabar Shafie senaraikan nama projek baharu yang sedang dalam pembinaan dan kami juga ingin bertanya di mana pelabur asing yang beliau nyatakan kononnya akan membawa masuk wang sehingga berbelas billion ringgit, nampak seolah-olah Shafie cuba memperbodohkan rakyat Sabah dengan hanya menyatakan perkara yang sebenarnya tidak wujud”.

“Shafie hanya menumpang nama hasil projek yang telah diilhamkan oleh Tan Sri Musa Aman dan barisan kabinet kerajaan terdahulu,” tambah mereka lagi.

Berikut adalah kenyataan penuh Ketua ARMADA BERSATU Sabah:-

KENYATAAN AKHBAR

Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Negeri Sabah mencadangkan agar Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah mengkaji semula pelaksanaan Pas Sementara Sabah (PSS).

Sebagaimana yang dilaporkan media sebelum ini, pada 7 September 2019, dalam satu mesyuarat bersama di antara Kementerian Dalam Negeri dan Kerajaan Negeri Sabah, telah diputuskan bahawa kerajaan akan memperkenalkan PSS sebagai satu dokumen bagi menggantikan Sijil Banci, Kad Burung-Burung dan IMM13. Dilaporkan bahawa PSS akan mula dilaksanakan pada 1 Jun 2020.

Sejak pengumuman tersebut, ARMADA BERSATU Sabah telah menerima pelbagai respon daripada masyarakat Sabah, dan hampir keseluruhannya menzahirkan kebimbangan, dan sebahagian besar daripadanya tidak bersetuju dengan pengenalan PSS.

ARMADA BERSATU Sabah melihat respon negatif ini berpunca daripada pengumuman tersebut dibuat tanpa wujudnya sesi libat urus (engagement) yang menyeluruh di kalangan rakyat, dan tanpa sebaran maklumat yang mencukupi.

Dalam isu imigresen dan pendaftaran yang amat sensitif bagi warga Sabah, seharusnya pelbagai siri sesi libat urus dilaksanakan di kalangan rakyat sebelum sebarang keputusan dibuat. Pendekatan mesyuarat, perbincangan dan pembuatan keputusan di kalangan agensi Kerajaan semata-mata adalah tidak memadai dan tidak adil bagi rakyat. Isu imigresen dan pendaftaran mempunyai kaitan langsung dengan kedaulatan negara, dan setiap anak watan mempunyai hak dan kepentingan untuk ambil peduli.

Pelbagai persoalan timbul, antaranya apakah punca kuasa perundangan Sijil Banci, Kad Burung-Burung, IMM13 dan PSS itu sendiri. Selain itu, sekiranya dilaksanakan kelak, adakah pemegang PSS dibenarkan bekerja secara sah di Sabah, dan sekiranya dibenarkan, adakah mereka akan dikenakan bayaran levi sebagaimana pekerja asing sah yang lain.

Sekiranya tidak dikenakan levi, dilihat bahawa dasar ini akan memberikan keistimewaan kepada warga asing ‘tidak sah’ melalui PSS berbanding warga asing yang masuk secara sah untuk bekerja yang tertakluk kepada pembayaran levi tahunan yang lebih tinggi, berbanding hanya RM120 bagi pemegang PSS untuk tempoh sah laku 3 tahun.

Begitu juga, persoalan yang paling penting adalah sejauh mana dapat dipastikan senarai dan proses pengagihan PSS adalah telus dan kalis penyelewangan. Pada masa yang sama, isu yang lebih merisaukan adalah apakah hala tuju pasca PSS, apakah tempoh maksima pemegang PSS dan adakah telah wujud pelan tindakan yang jelas bahawa mereka akan dihantar balik ke negara asal.

Persoalan pokok berkisar kepada objektif dan justifikasi pengenalan PSS itu sendiri yang tidak diperjelaskan secara terperinci.

Sehubungan itu, susulan daripada Bengkel Pemurnian Pasca Belanjawan 2020 yang telah kami anjurkan pada 10 November 2019, ARMADA BERSATU Sabah telah memutuskan untuk menggesa agar kerajaan mempertimbangkan semula pelaksanaan PSS.

Sebarang keputusan muktamad hanya boleh dibuat setelah sesi libat urus menyeluruh dilaksanakan dan kerisauan dan persoalan warga Sabah berkaitan isu ini ditangani dengan sewajarnya.

Adalah juga diharapkan para Ahli Dewan Undangan Negeri Sabah akan menggunakan platform Persidangan DUN Sabah yang akan bermula esok, Jumaat, untuk membincangkan perkara dan isu yang amat kritikal dan penting ini demi memelihara keselamatan dan kedaulatan tanah air.

BERSATU – BERAMANAH – BERMARUAH

MOHD ISQUZAWAN ISRAQ ARSIT
Ketua ARMADA
BERSATU Sabah

#ArmadaSabah
#YouthPower

Tulisan asal artikel ini adalah dipetik melalui kenyataan akhbar Ketua ARMADA BERSATU Negeri Sabah…