AS Tidak Perlu Lagi Laksanakan Perintah Berkurung – Pakar Kerajaan

AS Tidak Perlu Lagi Laksanakan Perintah Berkurung – Pakar Kerajaan

0
SHARE

WASHINGTON – Pakar kerajaan, Anthony Fauci hari ini memaklumkan bahawa Amerika Syarikat (AS) tidak perlu lagi melaksanakan perintah berkurung dalam mengawal penularan pandemik COVID-19 di negara itu memandangkan kadar jangkitan harian tidak berubah.

Beliau yang juga doktor saintis yakin dunia akan memperoleh vaksin seawal mungkin yang akan mengakhiri pandemik itu, menyifatkan ujian awal sangat memberangsangkan.

“Saya rasa kita kini berusaha untuk mengawal dengan lebih baik kawasan-kawasan di negara ini yang mengalami banyak kes, bukannya untuk mengenakan lebih banyak sekatan.

“Negeri yang tidak terjejas teruk juga tidak mempunyai masalah untuk membuka sekolah semula. Namun, bagi yang mempunyai kes yang agak banyak, boleh melengahkan pembukaan sekolah.

“Bagi yang berada di pertengahan, boleh melakukan pengubahsuaian proses seperti sekolah berganti-ganti pagi dan petang, asingkan tempat duduk pelajar dan memakai pelitup muka,” katanya.

Anthony Fauci…

Berkenaan pembukaan sempadan, beliau berkata wujud usaha untuk membuka sempadan berdasarkan beberapa normal baharu dengan negara lain, namun enggan memberikan garis masa.

Sementara itu, ramai dalam kalangan komuniti saintis beranggapan sukar untuk mendapatkan vaksin COVID-19 yang disamakan seperti usaha untuk mendapatkan vaksin HIV yang mengambil masa berdekad.

Namun, Fauci yang dipetik AFP menekankan bahawa ia adalah dua perkara berbeza berikutan ramai yang sudah pulih dari COVID-19 kerana sistem imunisasi yang kuat.

“Justeru, antibodi semula jadi ini membuktikan bahawa ia boleh dilakukan. Saya juga yakin dengan keputusan awal kajian vaksin Moderna oleh Institut Kesihatan Kebangsaan ke atas manusia, namun ia bukanlah keputusan akhir,” katanya.

Dalam masa sama, Fauci juga kagum dengan keputusan kajian dari Britain mengenai ‘steroid dexamethasone’ yang mampu mengurangkan satu pertiga kematian pesakit yang bergantung kepada ventilator.

Bagaimanapun, katanya ia tidak boleh digunakan terlalu awal, sejurus selepas seseorang itu dijangkiti.

“Apa yang penting ialah mengetahui pada awal jangkitan, anda memerlukan sistem kekebalan tubuh yang kuat untuk menekan virus itu,” katanya.