ASEAN Dan FIFA Meterai MoU Jadikan Bola Sepak Pemangkin Pembangunan Sosial

ASEAN Dan FIFA Meterai MoU Jadikan Bola Sepak Pemangkin Pembangunan Sosial

0
SHARE
Sumber Foto; BERNAMA...

BANGKOK, THAILAND – ASEAN dan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) hari ini memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi menjadikan sukan bola sepak sebagai pemangkin kepada pembangunan sosial dan gaya hidup sihat di rantau ini.

Jalinan kerjasama tersebut ditandatangani oleh Presiden FIFA, Gianni Infantino dan Setiausaha Agung ASEAN, Datuk Lim Jock Hoi ketika berlangsung Sidang Kemuncak ASEAN ke-35 di Pusat Konvensyen dan Pameran IMPACT di sini.

Majlis menandatangani MoU itu turut disaksikan oleh pemimpin-pemimpin 10 negara anggota ASEAN termasuk Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

FIFA dalam kenyataan berkata MoU itu merangkumi pelbagai bentuk kerjasama dengan tumpuan terhadap pendidikan khususnya pelaksanaan program Bola Sepak FIFA Untuk Sekolah bagi meningkatkan kemahiran hidup dan pendidikan jasmani menerusi bola sepak di rantau ini.

Menurut kenyataan itu, FIFA dan ASEAN akan berkerjasama dalam pelaksanaan strategi bersama bagi mempromosikan gaya hidup sihat dan penyertaan inklusif dalam bola sepak terutama bagi golongan wanita dan masyarakat terpinggir.

Di samping itu, bidang fokus kerjasama lain termasuk mempromosikan keselamatan kanak-kanak dalam sukan bola sepak serta menambahbaik integriti sukan dengan meningkatkan kesedaran mengenai permainan yang adil dan bersih serta memerangi manipulasi perlawanan dan gejalah doping.

Sementara itu, Lim berkata bola sepak mengikat kesemua 650 juta penduduk di rantau ini sebagai satu komuniti.

“Bola sepak adalah kaedah strategik untuk menyatukan rakyat, mempromosikan hubungan antara rakyat dan menjadikan ASEAN sebagai satu komuniti yang kukuh,” katanya pada majlis itu.

Dalam pada itu, Infantino berkata bola sepak adalah komponen penting dalam pembangunan sosial, integrasi dan nilai-nilai kesukanan di rantau ini.

Beliau berkata sukan tersebut telah memberi harapan dan keseronokkan kepada golongan belia di rantau ini.

“ Kita tidak sabar untuk melihat sebuah komuniti bola sepak dan kesukanan yang lebih kuat di rantau ini,” katanya.

– BERNAMA