Awie Sarankan Syed Saddiq Beri Tumpuan Pada Tugas Hakiki Sebagai Menteri Sukan...

Awie Sarankan Syed Saddiq Beri Tumpuan Pada Tugas Hakiki Sebagai Menteri Sukan Dan Belia

0
SHARE

KUALA LUMPUR – Vokalis rock kumpulan lagenda Wings, Awie menyelar tindakan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang cuba mempromosikan negara ini dengan membawa artis luar.

Jelas Awie atau nama sebenarnya Datuk Ahmad Azhar Othman menagatakan bahawa Syed Saddiq yang juga Menteri Belia dan Sukan menunjukan bahawa beliau tidak tahu taraf sebilangan pemuzik tanahair sebenarnya setanding di peringkat antarabangsa.

Awie menyarankan agar Syed Saddiq perlu menumpukan perhatian kepada tugas hakikinya sebagai Menteri Belia dan Sukan agar pembangunan para atlet negara dan kemajuan sukan negara dapat dipertingkatkan di persada dunia.

Tambah Awie yang dipetik Malaysia Gazette, ramai artis-artis tempatan yang sebenarnya secara senyap telah mempromosikan negara di peringkat dunia dan langkah mengundang pemuzik luar untuk menarik pelancong adalah satu perkara yang silap.

“Pandang dan lihat anak bangsa sendiri, asyik-asyik nak promosi Malaysia kena bawa orang luar…

“Orang luar biarlah dia memang dia dah bagus di sana, cukuplah. Orang luar nak tengok apa yang ada di sini. Kalau pelancongan naikkan pelancongan kalau sukan naikkan sukan,” katanya.

Dalam pada itu, Awie turut mempersoalkan tindakan Syed Saddiq yang mahu berbelanja dengan mengundang artis luar ketika negara kini sedang dilanda kemelut ekonomi yang tidak menentu.

Katanya, adalah lebih baik kerajaan memberikan tumpuan kepada penggiat seni tanahair yang mempunyai bakat besar dalam mengharumkan nama negara melalaui hiburan.

“Kalau betul nak menarik pelancong bukan tugas dia tugas menteri pelancongan…

“Kalau dia menteri belia dan sukan bawa dan latihlah apa yang boleh diketengahkan dalam industri sukan ke persada luar,” ujarnya.

Bagaimanapun, penyanyi berusia 55 tahun itu tidak mahu perkara yang dibangkitkan itu dilabel sebagai satu serangan politik tetapi mahu dilihat sebagai luahan daripada seorang pemuzik tempatan.

Terdahulu pada 23 April lepas, Syed Saddiq memaklumkan pihaknya kini dalam usaha membawa masuk kumpulan BTS ke negara ini untuk membuat persembahan sempena Tahun Melawat Malaysia 2020 dan usaha itu dilakukan dengan kerjasama Pengerusi Perbadanan Stadium Malaysia, Tan Sri Tony Fernandes.

Namun, usaha dan kerjasama bersama Pengerusi Perbadanan Stadium Malaysia, Tan Sri Tony Fernandes itu mendapat banyak maklum balas negatif netizen termasuk selebriti tanah air.