Azis Jamman Kurang Cerdik? – Penganalisis Politik

Azis Jamman Kurang Cerdik? – Penganalisis Politik

0
SHARE
Dato' Mohd Azis Bin Jamman...

KOTA KINABALU, SABAH – Dato’ Azis Jamman Ketua Wira Parti Warisan Sabah disifatkan sebagai pemimpin yang kurang cerdik selepas beliau dikatakan tidak dapat membezakan maksud jasa kepada negeri dan ‘perang politik’.

Selepas dikritik dengan begitu teruk oleh majoriti rakyat di Sabah ekoran rasa kurang senang mereka terhadap pemimpin Parti Warisan, DAP dan UPKO yang menerima pingat PGDK yang membawa gelaran Datuk baru-baru ini, Azis yang juga Timbalan Menteri Dalam Negeri (KDN) telah mengeluarkan kenyataan melalui laman media sosial Facebook milik beliau dengan menyatakan bahawa “pemimpin-pemimpin Warisan, DAP dan UPKO telah berjuang melalui ranjau duri, tekanan, penghinaan, ugutan dan halangan serta berjaya menumbangkan dan melepaskan gengaman UMNO dan BN keatas negeri SABAH, oleh sebab itu mereka layak menerima gelaran Datuk”.

Ahmad Jonathan Abdullah, seorang penganalisis politik bebas berkata “jawapan Azis amat mengecewakan dan dilihat tidak tepat serta cuba mengelirukan rakyat. Sedarkah Azis bahawa Tan Sri Musa Aman telah meletakkan Sabah sebagai sebuah negeri yang paling membangun di Malaysia dan mempunyai rezab kewangan sebanyak RM3 billion ringgit sebelum ini?

“Sabah juga telah menerima anugerah pengurusan kewangan terbaik di Malaysia oleh Jabatan Audit Negara selama 14 tahun berturut-turut”

Ahmad berkata lagi “Azis secara jelas tidak dapat membezakan serangan politik dengan jasa ataupun sumbangan kepada negeri Sabah yang menjurus kepada pembangunan negeri dan bantuan kepada rakyat Sabah secara berterusan”.

Azis turut dicabar untuk menyenaraikan secara terperinci apakah sumbangan Azis kepada kepada pembangunan di kawasan Parlimen Sepanggar setakat ini dan begitu juga dengan Junz Wong, Ewon Benedict, Jimmy Wong serta pemimpin lainnya bagi kawasan Likas, Sembulan, Kadamaian dan Kota Kinabalu sehingga melayakkan mereka mendapat gelaran ‘Datuk’.

Menurut Ahmad lagi “kalaulah alasan Azis kononnya kesemua mereka telah melalui ranjau duri, tekanan, penghinaan, ugutan oleh Barisan Nasional sebelum ini sehingga melayakkan mereka menerima gelaran ‘Datuk’ tersebut, bagaimana pula dengan Ewon Benedict wakil rakyat BN sebelum ini, adakah Ewon juga tersenarai dalam pemimpin yang dimaksudkan oleh Azis?”.

Ewon Benedict sebelum ini bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) di DUN Kadamaian dan dikatakan turut menandatangani akaun bersumpah bagi menyokong Tan Sri Musa Aman sebagai Ketua Menteri Sabah kemudian berpaling arah menyokong Datuk Seri Shafie Apdal.

“Harus diingat Ewon Benedict baharu sahaja menjadi wakil rakyat bagi kawasan DUN Kadamaian, apakah sumbangan Ewon setakat ini kepada negeri Sabah termasuk DUN Kadamaian sehingga melayakkan beliau menerima amugerah PGDK tersebut?, atau adakah ini salah satu balasan kepada jasa Ewon selepas menyokong Shafie, ini yang cuba dipersoalkan oleh rakyat Sabah ketika ini?”, soal Ahmad lagi.

“Rakyat Sabah pada masa ini melihat pimpinan Parti Warisan, DAP dan UPKO sebagai mereka yang lebih mementingkan pangkat daripada menjaga hal ehwal kebajikan mereka…

“Ketika ini rakyat di Sabah mengalami begitu banyak masalah termasuk kesukaran mendapatkan pekerjaan bagi golongan mahasiswa dan belia, harga sawit jatuh, ketiadaan rumah, harga barang masih meningkat naik dan banyak lagi masalah yang sepatutnya menjadi isu penyelesaian yang konkrit oleh pemimpin-pemimpin ini dan bukannya mereka sibuk untuk mendapatkan pangkat ‘Datuk’ yang dilihat lebih diutamakan oleh mereka” tambah Ahmad lagi.