Bajet 2019 Sabah Kesinambungan Bajet Persekutuan – Setiausaha Persekutuan Sabah

Bajet 2019 Sabah Kesinambungan Bajet Persekutuan – Setiausaha Persekutuan Sabah

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Bajet 2019 bagi Sabah merupakan kesinambungan Bajet Persekutuan bagi melaksanakan pelbagai agenda dan program pembangunan untuk kesejahteraan seluruh lapisan rakyat di negeri ini, kata Setiausaha Persekutuan Sabah Nor Azri Zulfakar.

Beliau berkata bajet itu yang bertemakan ‘Memacu Pertumbuhan Berpaksikan Rakyat’ membolehkan rakyat menikmati manfaat ekonomi termasuk pembangunan infrastruktur dan kemudahan awam.

Katanya ia juga bagi menyediakan peluang pekerjaan dan perniagaan sekali gus mewujudkan kesan pengganda kepada ekonomi Sabah.

Menurutnya belanjawan itu juga jelas menekankan perancangan kewangan yang menggambarkan aspirasi kerajaan negeri untuk mengekal dan meningkatkan prestasi pertumbuhan ekonomi.

Ia juga diseimbangkan dengan matlamat untuk menjejahterakan rakyat dengan mengambil kira persekitaran dalaman, luaran dan cabaran globalisasi, katanya ketika merasmikan Forum Pasca Bajet Negara 2019, di sini, hari ini.

Beliau berkata belanjawan 2019 negara berjumlah RM314.5 bilion yang merangkumi RM259.8 bilion bagi perbelanjaan mengurus dan RM54.7 bilion untuk perbelanjaan pembangunan manakala bagi Sabah, belanjawan 2019 berjumlah RM4.16 bilion meliputi RM4.1 juta perbelanjaan mengurus dan RM934.68 juta perbelanjaan pembangunan.

Nor Azri berkata belanjawan 2019 dilihat  mampu mengimbangi antara pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat melibatkan pelbagai sektor.

“Belanjawan dan pengurusan kewangan, baik dari segi hasil mahupun terimaan dan perbelanjaan fiskal hendaklah sentiasa berteraskan integriti… 

“Kita dapat melihat kesungguhan hasrat kerajaan melalui pelbagai inisiatif yang dirancang bagi menjayakan dasar,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata penjawat awam di negeri ini dan Labuan harus mendukung hasrat dan aspirasi kerajaan untuk menjana pertumbuhan ekonomi negara.

Katanya mereka perlu mengoptimumkan sumber sedia ada serta menyahut saranan perbelanjaan berhemah oleh kerajaan, cekap dan berintegriti dalam sebarang tindakan yang diambil dan dilaksanakan.

– BERNAMA