Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) Lagi Baik Berbanding Pemberian Program Subsidi Petrol (PSP)...

Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) Lagi Baik Berbanding Pemberian Program Subsidi Petrol (PSP) – Tuan Ibrahim

0
SHARE
Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man...

KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berpandangan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) lagi baik berbanding Pemberian Program Subsidi Petrol (PSP).

Tuan Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata bahawa Pemberian Program Subsidi Petrol (PSP) yang dilancarkan kerajaan semalam dengan memperuntukkan RM1 sehari kepada penerimanya membuktikan kerajaan Pakatan Harapan (PH) gagal menyelesaikan masalah subsidi.

Menurutnya lagi, tidak releven kerajaan memberikan subsidi kepada rakyat jika golongan berpendapatan rendah terutamanya golongan B40 tidak dapat menikmati sepenuhnya pemberian tersebut.

“Saya rasa PH (Pakatan Harapan) gagal menyelesaikan masalah subsidi dan penyelesaian ini tidak konkrit.

“Jumlah subsidi yang diberi tidak muhasabah sebab kalau RM1 (sehari) gagal… tidak ada kesan apa-apa kepada rakyat. Lebih baik BR1M sebab terus kepada rakyat B40. Itu lebih terasa kepada rakyat,” katanya kepada media di lobi Parlimen, semalam.

 

Terdahulu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Saifuddin Nasution Ismail mengumumkan kerajaan akan menyalurkan subsidi minyak berjumlah RM30 sebulan bagi kereta dan RM12 sebulan bagi motosikal.

Mereka yang layak menerima subsidi itu adalah penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) yang memiliki kenderaan 1600cc ke bawah dan kereta melebihi 1600cc yang berjangka hayat 10 tahun ke atas.

Program Subsidi Petrol (PSP) itu juga menetapkan kategori motosikal yang layak menerima subsidi itu adalah motosikal 150cc ke bawah dan motosikal melebihi 150cc yang berusia tujuh tahun ke atas.

PSP akan mula dilaksanakan pada 1 Januari 2020 yang membabitkan kira-kira 2.86 juta penerima.