Bayaran BSH Bagi Fasa 3 Akan Dibuat Sebelum Akhir Julai Ini

Bayaran BSH Bagi Fasa 3 Akan Dibuat Sebelum Akhir Julai Ini

0
SHARE

KUALA LUMPUR – Bayaran Bantuan Sara Hidup (BSH) bagi Fasa 3 melibatkan penerima bukan di kawasan pendalaman di Semenanjung, Sabah dan Sarawak akan dibuat sebelum akhir Julai ini.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata implikasi kos bagi Fasa 3 bayaran BSH itu adalah sebanyak RM3 billion yang melibatkan seramai 5 juta penerima iaitu masing-masing 3.8 juta isi rumah dan 1.2 juta individu bujang.

“Penerima kategori isi rumah yang menerima bantuan sebanyak RM600 akan menerima tambahan bantuan RM120 bagi setiap anak (bawah 18 tahun) dengan maksimum empat orang anak…

“Sebagai contoh, isi rumah berpendapatan kurang RM2,000 dengan empat anak akan mendapat RM1,080,” katanya dalam kenyataan media Laporan Ke-11 Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (Laksana) bagi Pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA), semalam.

Tengku Zafrul berkata seperti diumumkan sebelum ini, pelaksanaan pembayaran secara tunai Bantuan Prihatin Nasional (BPN) serta fasa kedua dan ketiga BSH 2020 bagi kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak (tiada akaun bank) akan bermula pada 1 hingga 31 Julai, 2020 yang diselaraskan Perbendaharaan Malaysia Sabah (PMSabah) dan Perbendaharaan Malaysia Sarawak (PMSarawak).

Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz…

“Usaha ini bakal memanfaatkan 53,325 penerima dengan implikasi kewangan sebanyak RM28.7 juta,” katanya.

Mengulas program i-Lestari KWSP, beliau berkata sebanyak 4.34 juta permohonan telah diluluskan dengan pengeluaran berjumlah RM2.17 bilion sebulan sehingga 26 Jun lepas.

Beliau menegaskan kerajaan tidak memandang ringan aspek keselamatan sosial rakyat dan bantuan pakej PRIHATIN dan PENJANA disasarkan untuk membantu dalam jangka masa pendek.

“Kerajaan akan memantau rapat situasi semasa untuk mencari jalan penyelesaian yang mampan untuk jangka masa sederhana dan panjang,” katanya.

Tengku Zafrul berkata setakat 26 Jun lepas, permohonan Dana Pinjaman Mudah PKS (Perusahaan Kecil dan Sederhana) yang telah diluluskan oleh bank-bank tempatan dan disetujuterima PKS terbabit adalah RM8.4 bilion yang akan memberi manfaat kepada 19,539 kelompok terbabit.

Bagi Skim Kredit Mikro Bank Simpanan Nasional, sebanyak 7,577 permohonan daripada peniaga mikro telah diluluskan dengan nilai RM260.6 juta manakala sejumlah 25,071 permohonan program Tekun Nasional diluluskan yang bernilai RM191.50 juta, katanya.

Menurutnya, bagi PENJANA di bawah program MY30, kerajaan telah memperuntukkan RM200 juta membabitkan penggunaan tanpa had dengan bayaran RM1 sehari selama 30 hari bagi semua pengangkutan rel Transit Aliran Ringan (LRT), Transit Aliran Massa (MRT), KL Monorail dan perkhidmatan bas BRT, Bas RapidKL dan Bas Pengantara MRT di Lembah Klang.

“Setakat 28 Jun 2020, sebanyak 66,692 pas telah terjual manakala subsidi kerajaan bagi pas-pas ini bernilai RM11.3 juta,” katanya.

Beliau berkata bagi program subsidi upah ditambahbaik dengan peruntukan RM5.3 bilion, pekerja sektor pelancongan dan sektor terlarang beroperasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat yang diberi cuti tanpa gaji adalah layak menerima kemudahan itu dengan syarat ia diterima secara langsung.

Selain itu, Tengku Zafrul berkata PenjanaKerjaya telah dilancarkan di bawah PENJANA bagi membantu perniagaan dan rakyat yang terkesan oleh krisis COVID-19 membabitkan peruntukan sebanyak RM1.5 bilion yang bermula 15 Jun lepas.

“Program ini bertujuan untuk merangsang penjanaan pekerjaan dan bagi membantu pencari kerja daripada golongan tertentu yang mencari peluang pekerjaan,” katanya.

Menurutnya, kerajaan juga memperuntukkan sebanyak RM108 juta bagi bantuan sosial golongan mudah terjejas di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dengan lebih 28,000 pendaftaran baharu telah diterima bagi ibu tunggal setakat 25 Jun lepas.

“Bagi tujuan ini, maklumat diterima itu sedang disemaksilang dan tarikh bayaran bantuan secara sekali sebanyak RM300 akan diumumkan dalam masa terdekat,” katanya.

“Malah, tempoh pendaftaran terbabit masih dibuka sehingga 31 Oktober 2020,” tambah beliau.

– BERNAMA