Bekas Ketua Puteri UMNO, Mas Ermieyati Sah Masuk Parti BERSATU

Bekas Ketua Puteri UMNO, Mas Ermieyati Sah Masuk Parti BERSATU

0
SHARE

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati diterima secara sah menjadi ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM). Ermieyati dilihat telah menyerahkan borang permohonannya untuk menjadi ahli PPBM terus kepada Pengerusi Bersatu iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ermieyati dalam satu kenyataan yang dimuat naik dalam di laman sosial Facebook milik beliau hari ini mengucapkan terima Kasih kepada Pengerusi BERSATU, Tun Dr Mahathir dan kepimpinan parti kerana telah menerima kemasukan sebagai ahli BERSATU.

Ermieyati berkata “Insya Allah, saya berharap dapat turut sama membantu usaha BERSATU selaku parti komponen kerajaan dalam melaksanakan agenda pemerkasaan Wanita Muda, di samping bersikap lebih terbuka dalam memperjuangkan nasib belia supaya mereka dapat merasai satu kehidupan yang lebih baik dan juga untuk mewujudkan masa hadapan yang lebih cerah bagi Malaysia.”

“Saya sentiasa mahukan yang terbaik untuk pengundi Masjid Tanah dan sentiasa mencari solusi yang lebih berkesan dalam membela kepentingan mereka. Maka atas dasar inilah, setelah bermuhasabah dan memikirkan sedalamnya, saya mengambil keputusan untuk menyertai Parti Pribumi (BERSATU).”

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada sahabat-sahabat dari Masjid Tanah, Melaka dan seluruh negara yang banyak membantu sepanjang saya berkhidmat sebagai Ahli Parlimen, dari peringkat nasional sehingga ke akar umbi. Saya percaya bahawa inilah jalan terbaik dalam kerangka negara Malaysia yang majmuk”.

“Semoga Malaysia baharu ini akan mewujudkan budaya politik lebih matang dan inklusif, di samping meletakkan tadbir urus dan integriti sebagai keutamaan. Sudah tiba masanya semua pihak tanpa mengira fahaman politik dapat mencari satu titik persamaan demi kepentingan rakyat,” Ermieyati berkata lagi.