Bekas Pegawai Khas Najib Disambung Reman 2 Hari

Bekas Pegawai Khas Najib Disambung Reman 2 Hari

0
SHARE

PUTRAJAYA – Sususlan kes penyelewengan pemasangan panel tenaga solar sekolah pedalaman di Sarawak, bekas pegawai khas kepada bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak disambung tempoh tahanan reman kepada dua hari lagi sehingga Ahad ini.

Perintah sambungan reman terhadap bekas pegawai di Pejabat Perdana Menteri (PMO) yang bergelar Datuk berusia 44 tahun itu dikeluarkan Majistret Shah Wira Abdul Halim.

Sebelum ini, media melaporkan bekas pegawai yang turut berkhidmat untuk isteri bekas perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor itu direman empat hari sejak Selasa lalu bagi membantu siasatan kes dakwaan penyelewengan pemasangan panel tenaga solar sekolah di Sarawak.

Pengarah Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Simi Abdul Ghani mengesahkan mengenai penahanan individu berusia 44 tahun itu.

“Dia ditahan selepas dipanggil ke ibu pejabat SPRM bagi memberi keterangan berhubung dakwaan menerima wang dari sebuah syarikat yang dianugerahkan untuk memasang panel solar di sekolah di Sarawak,” katanya.

Berdasarkan maklumat sumber SPRM, bekas pegawai khas itu didakwa meminta wang daripada sebuah syarikat berpangkalan di Bintulu.

“Kami difahamkan dia meminta wang dengan jumlah yang besar,” katanya namun tidak mendedahkan jumlah berkenaan yang dipercayai bernilai jutaan ringgit.

Sebelum ini Sarawak Report, mendakwa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menandatangani projek bernilai RM1.25 bilion untuk pemasangan panel tenaga solar di 369 sekolah di Sarawak.

Pelaksanaan projek itu dikatakan melangkaui proses biasa ditetapkan kementerian pendidikan supaya tender projek berkenaan tidak diberikan secara terbuka, sebaliknya diserahkan terus kepada syarikat sewaan kereta di Bintulu.

SPRM sebelum ini sudah menahan tiga individu termasuk seorang pengarah syarikat bagi membantu siasatan berkaitan projek berkenaan.