Bekas Perdana Menteri Najib Razak Didapati Bersalah Berhubung Kes SRC International

Bekas Perdana Menteri Najib Razak Didapati Bersalah Berhubung Kes SRC International

0
SHARE

KUALA LUMPUR –¬†Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali hari ini mengesahkan bahawa bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak didapati bersalah atas kesemua tujuh pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram dana RM42 juta SRC International Sdn Bhd yang dihadapinya.

Mohd Nazlan membacakan penghakiman berhubung kes tersebut sebentar tadi berkata “Selepas menimbangkan semua keterangan, saya mendapati pendakwaan berjaya membuktikan semua tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC dihadapi tertuduh.”

‪Keputusan tersebut dibuat selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah.

“Kesimpulannya, dalam penghakiman saya, setelah mempertimbangkan semua bukti yang dikemukakan di mahkamah ini, saya dapati pihak pembelaan tidak berjaya membantah anggapan mengenai keseimbangan kemungkinan atau menimbulkan keraguan munasabah terhadap tuduhan terhadap tertuduh di bawah Seksyen 23 (1) Akta SPRM 2009,” kata Mohd Nazlan.

Najib didapati bersalah di bawah Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Najib didapati bersalah terhadap tiga (3) pertuduhan mendapatkan suapan RM42 juta apabila terlibat dalam keputusan bagi pihak kerajaan dalam memberikan jaminan kerajaan terhadap pinjaman berjumlah RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan kepada SRC International.

Najib didapati melakukan kesalahan itu di antara Disember 2014 dan Mac 2015 di Bangunan Ambank Group Jalan Raja Chulan, ibu negara.

Bagi tuduhan pengubahan wang haram, dia didapati bersalah menerima RM42 juta hasil aktiviti haram melalui sistem yang dipindahkan mengikut sistem pemindahan dana dan sekuriti secara elektronik masa nyata (RENTAS) dan didepositkan ke dalam akaun peribadi miliknya di AmIslamic Bank Berhad.

Jika sabit kesalahan, Najib boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima (5) kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana yang lebih tinggi mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta yang sama.