Berita Palsu Memperlekeh Demokrasi – Dr Salleh

Berita Palsu Memperlekeh Demokrasi – Dr Salleh

0
SHARE

Oleh: Dr Salleh                                                            

RANG Undang-undang (RUU) Antiberita Palsu 2018 dibentang di Parlimen beberapa hari lalu, menarik pelbagai perhatian dan pandangan. Kami mengalu-alukan perbincangan dan selepas mendengar banyak cadangan, kerajaan membuat perubahan terhadap RUU itu, termasuk mengurangkan hukuman maksimum sabitan kesalahan kepada penjara enam tahun.

Bagaimanapun, beberapa liputan berhubung RUU ini sengaja dikelirukan, manakala sesetengahnya ternyata palsu. Contohnya, takrifan berita palsu dalam RUU itu dinyatakan dengan jelas dan spesifik; kebebasan bersuara seperti diperuntukkan mengikut Perlembagaan Persekutuan tidak akan disekat; dan kerajaan tidak akan menentukan apakah berita palsu, sebaliknya pihak berkecuali iaitu Mahkamah yang membuat keputusan menerusi proses undang-undang. Sejak seorang bekas pemimpin berundur dan kebebasan kehakiman kembali, kita dapat melihat keputusan Mahkamah kerap tidak menyebelahi kerajaan serta menteri kanan.

Jangan lupa, kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, memperkenalkan pelbagai pendekatan berkesan sejak kemerdekaan negara ke arah mengukuhkan kebebasan bersuara dan demokrasi. Sebagai contoh, Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dimansuhkan; Perintah Darurat yang berkuat kuasa selama lebih 60 tahun dihapuskan; kebebasan media ditingkatkan dengan melupuskan halangan terhadap lesen penerbitan akhbar; Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) dipinda bagi membolehkan mahasiswa aktif berpolitik; manakala Akta Perhimpunan Aman diluluskan buat pertama kali bagi memberi hak protes aman dilakukan.

Jelas sekali, kerajaan akan bertindak bila perlu bagi memelihara keselamatan dan kebebasan rakyat, selain proses demokrasi negara. Tanpa disangkal, undang-undang berkaitan berita palsu ini perlu diwujudkan. Tambahan pula, Malaysia tidak bersendirian dalam hal ini. Banyak negara di seluruh dunia termasuk anggota ASEAN iaitu Singapura dan Filipina, mempertimbang atau sudah melaksanakan undang-undang sama dalam menangani berita palsu.

Jerman sudah melaksanakan undang-undang antiberita palsu memperuntukkan denda sehingga STG50 juta (RM241 juta) terhadap rangkaian sosial yang gagal menarik balik kandungan palsu dalam tempoh 24 jam.

Di Perancis, Presiden Emmanuel Macron, berikrar memperkenalkan undang-undang melarang berita palsu di internet ketika pilihan raya. Beliau tegas dalam mempertahankan perlunya undang-undang seperti itu diwujudkan. “Jika kita ingin melindungi demokrasi liberal, kita mesti mempunyai undang-undang yang kukuh dan jelas,” katanya.

Perdana Menteri Britain, Theresa May, akan melancarkan Unit Maklum Balas Pantas Berita Palsu “bagi menangani maklumat palsu dengan pantas dan mewujudkan semula debat umum berasaskan fakta.”

Semua ini bukan rejim menindas, sebaliknya negara Eropah yang terkenal dengan hak bersuara dan kebebasan sivil. Alirannya jelas: negara yang ingin mengetengahkan perdebatan sihat dan proses demokrasi berasaskan fakta menyedari keperluan untuk bertindak terhadap penularan berita palsu.

Ini bukan sekadar soal media sosial atau internet – walaupun memang diketahui berita palsu pantas tersebar menerusi platform terbabit, dan malangnya ia lebih kerap dipercayai berbanding kebenaran. Ambil contoh pilihan raya umum lalu, apabila tersebar dakwaan kononnya 40,000 warga Bangladesh dibawa masuk ke Malaysia untuk mengundi. Tiada bukti ditemui mengenai kehadiran mereka. Bagaimanapun, ramai yang mempercayai kehadiran ‘pengundi hantu’ itu dan membawa kepada ketegangan kaum serta ketidakyakinan terhadap proses pengundian. Ini adalah ancaman besar terhadap demokrasi dan keharmonian kita.

Masalah ini berlanjutan kepada media antarabangsa. Ada kalanya, kesilapan dilakukan mengenai Malaysia lebih berkisar kepada kejahilan, seperti ketika media antarabangsa menyebut Datuk Seri Najib Razak sebagai ‘Encik Razak’ atau Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai ‘Encik Ibrahim’ – dengan kedua-duanya merujuk kepada bapa mereka yang sudah meninggal dunia. Menjadi satu kebimbangan apabila media antarabangsa yang dipandang serius oleh rakyat Malaysia, mempunyai pengetahuan cetek mengenai negara ini sehingga melakukan kesilapan asas seperti itu. Namun demikian, semua itu boleh dianggap sebagai tidak membimbangkan.

Ia menjadi lebih serius apabila media antarabangsa termasuk agensi berita yang dilanggani di seluruh dunia, memaparkan fakta salah. Sebuah agensi berita melaporkan kerajaan menutup portal The Malaysian Insider tahun lalu, sedangkan hakikatnya – seperti diakui pengurusannya – ia ditutup atas sebab komersial. Pihak yang membiayainya tidak sanggup lagi menanggung kerugian berjuta ringgit ke atas laman web tidak menguntungkan.

Agensi sama melaporkan kerajaan menyokong rang undang-undang yang antara lain “akan membenarkan hukuman syariah lebih berat seperti memotong tangan kerana mencuri dan rejam bagi kesalahan zina”. Semua itu ternyata palsu dan diakui sendiri agensi terbabit. Mereka memperbetulkan laporan berkenaan, namun pada masa sama, ia sudah beredar di seluruh dunia dan disiarkan akhbar serta dalam talian merentasi benua.

Tiada pembetulan lain dilakukan manakala undang-undang fitnah tidak dirangka untuk menangani maklumat palsu seperti ini kerana tiada individu khusus ditohmah. Akibatnya, berjuta warga dunia kini mempercayai sesuatu yang palsu – kerana mereka meyakini agensi berita untuk melaporkan fakta betul. Malangnya, mereka disuap dengan ‘berita palsu’ mengenai Malaysia – dan rakyat Malaysia perlu menolaknya.

Baru-baru ini, sebuah laman web ilmiah mendakwa inflasi di Malaysia berada pada paras ‘tertinggi’. Hakikatnya, kebanyakan pihak berpengaruh di peringkat nasional dan antarabangsa, mengunjurkan kadar inflasi negara ini berada antara dua hingga tiga peratus – yang dianggap rendah dalam sejarah bagi Malaysia dan perbandingan global. Lebih banyak berita palsu disebarkan oleh profesor universiti. Adakah mereka pedulikan tindakan memburukkan reputasi sebuah negara secara palsu?

Terbaru, penerbitan South China Morning Post (SCMP) mengeluarkan beberapa artikel mengandungi pembohongan mengenai Malaysia dan rakyat negara ini perlu menyedari semua itu cenderung kepada berita palsu dan pembohongan menyesatkan.

Sumber Foto; South China Morning Post (SCMP)

Pada 30 Mac lalu, SCMP menerbitkan artikel paling menjelikkan bertajuk ‘Why are foreign leaders snubbing Najib ahead of Malaysia’s election?’ (Mengapa pemimpin dunia meminggirkan Najib sebelum pilihan raya Malaysia?)

Mereka mendakwa: “Deretan golongan kenamaan yang biasanya berkunjung ke Malaysia semakin berkurangan… melainkan Najib boleh berbangga dengan sebuah nama kenamaan besar di Malaysia dan tidak lama lagi, beliau bakal berdepan kritikan bahawa kedudukan antarabangsa Malaysia merudum di bawah kepemimpinannya.”

Ini adalah contoh utama berita palsu. Saya akan buktikan itu bukan sekadar pandangan, tetapi fakta.

Selain amalan biasa bagi pemimpin asing tidak melakukan lawatan rasmi ke sesebuah negara menjelang pilihan raya umum kerana bimbang dilihat cuba mencampuri proses demokrasi dalaman, kerajaan Malaysia sebenarnya menolak beberapa permohonan kunjungan luar atas alasan sama.

Apakah ini bermakna Perdana Menteri dipinggirkan? Sebagai permulaan, beliau adalah pemimpin ASEAN tunggal yang diundang untuk menyampaikan ucaptama pada Persidangan Menentang Keganasan ASEAN-Australia di Sydney bulan lalu. Malah, penganjur beberapa persidangan utama antarabangsa berusaha mendapatkan persetujuan beliau untuk hadir. Jelas sekali beliau tidak ‘dipinggirkan’. Ini adalah antara pemimpin dunia yang menemui Perdana Menteri di Malaysia tahun lalu:

Raja Arab Saudi, Presiden Perancis, Putera Mahkota Jepun, Raja Bahrain, Perdana Menteri Laos, Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Kaunselor Negara China, Emir Qatar, Putera Wales dan Duchess of Cornwall, Presiden Indonesia, Perdana Menteri Morocco, Presiden Comoros, dan Gabenor Jeneral New Zealand.

Ini tidak termasuk pemimpin dunia yang menemui Perdana Menteri di luar negara termasuk:

Presiden dan Perdana Menteri China, Presiden Amerika Syarikat, Perdana Menteri Britain, Perdana Menteri India, Perdana Menteri Australia, Presiden Libya, Perdana Menteri Bangladesh, Perdana Menteri New Zealand, Perdana Menteri Papua New Guinea, Presiden Korea, Perdana Menteri Jepun, Perdana Menteri Sri Lanka, Presiden Maldives, Presiden Vietnam, dan Sultan Brunei.

Ini hanya sebahagian daripada senarai dan tidak termasuk ramai lagi pemimpin dunia yang ditemui Perdana Menteri ketika menghadiri pelbagai sidang kemuncak. Senarainya amat panjang. SCMP mungkin tidak menyedari Perdana Menteri mempunyai tugas perlu dijalankan, selain daripada berjumpa pemimpin asing. Sudah tentu mereka menyedari hakikat ini, tetapi mereka hanya berminat menyiarkan berita palsu.

Artikel berkenaan turut mengandungi kesilapan serius lain yang menjadikannya berita palsu.

Sebagai contoh, ia menyebut ‘timbul spekulasi pentadbiran Najib melantik firma analitik Cambridge Analytica – syarikat yang menjadi tumpuan dunia selepas terbabit dalam kontroversi memanipulasi undi pada pilihan raya Presiden Amerika Syarikat’.

Spekulasi itu tidak perlu timbul, jika penulis itu mengambil berat soal fakta.

Kerajaan dan syarikat induk Cambridge Analytica, SCL Group, mengesahkan firma itu tidka pernah dilantik atau dibayar oleh Barisan Nasional atau Kerajaan. Malah, ketua Cambridge Analytica/SCL Group di Malaysia mengesahkan satu-satunya pemimpin yang mendapatkan nasihat mereka ialah Datuk Seri Mukhriz Mahathir – Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan anak pemimpin pembangkang, Tun Dr Mahathir Mohamad. Lebih banyak berita palsu.

Sebelum ini, SCMP adalah penerbitan yang amat dihormati di rantau ini, dan segelintir rakyat Malaysia yang mengikuti laporannya mungkin berpendapat akhbar itu boleh dipercayai. Malangnya, ia bukan lagi begitu.

Seperti mana sebilangan penerbitan dan media antarabangsa, fakta dan proses kewartawanan serta etika tidak lagi dianggap ‘keramat’. Kewartawanan pincang dan taktik memburukkan menjadi asas artikel mereka. Lihat contoh yang telah saya berikan di atas, baik bagi SCMP dan kes lain. Tidak kiralah sengaja atau cuai, ia adalah maklumat palsu. Ia adalah berita palsu. Ia berbahaya buat kita semua. Kerajaan Malaysia, seperti mana yang lain di seluruh dunia, sedia mengambil langkah sewajarnya menjelang pilihan raya umum bagi memastikan demokrasi tidak dicemari penipuan, maklumat palsu, tohmahan dan andaian.

Mereka yang perlu bimbang terhadap RUU Antiberita Tidak Benar 2018 bukanlah golongan yang menampilkan pandangan jujur dan melaporkan secara betul berdasarkan protokol kewartawanan sebenar. Tidak. Mereka yang perlu bimbang adalah golongan yang menyiar atau menyebarkan berita palsu – atau ringkasnya, pembohongan. Jika kita dikritik kerana benar, teruskan. Itu adalah kritikan yang boleh diterima dengan berlapang dada. Kita tidak akan berhenti daripada menamakan mereka yang mengelirukan fakta dengan penipuan oleh golongan yang memperlekehkan demokrasi demi kepentingan sendiri.

Kisah sebenar Malaysia ialah sejak Perdana Menteri menerajui pentadbiran pada 2009, Pendapatan Negara Kasar (PNK) meningkat lebih 50 peratus, hampir 2.7 juta peluang pekerjaan diwujudkan, kadar pengangguran dan inflasi rendan, manakala kemiskinan tegar hampir dihapuskan. Ekonomi Malaysia berkembang dengan pantas tahun lalu sehingga Bank Dunia menaikkan unjurannya tiga kali sepanjang 2017, manakala angka sebenar pertumbuhan pada 5.9 peratus mengatasi jangkauan mereka.

Rancangan kerajaan bagi kemakmuran ekonomi dan keselamatan Malaysia serta rakyatnya semakin menampakkan hasil. Seperti laporan Tabung Matawang Dunia (IMF) pada awal Mac lalu: “Negara ini berada di landasan betul untuk menjadi negara berpendapatan tinggi.”

Ini adalah fakta, dan mereka perlu menyebarkannya di negara ini dan di luar negara. Rakyat Malaysia berhak mengetahui keadaan sebenar. Pembangkang dan beberapa media yang menyokong mereka tidak bersetuju dengan hakikat ini. Mungkin mereka lebih gemar memutar-belit, memfitnah dan menipu, namun kerajaan akan terus berjuang membela kebenaran.

Dipetik daripada blog Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak (Menteri Komunikasi Dan Multimedia) pada 02 April 2018…