Berjaya Hentikan COVID-19, Perintah Berkurung Di New Zealand Akan Dilonggarkan Minggu Hadapan

Berjaya Hentikan COVID-19, Perintah Berkurung Di New Zealand Akan Dilonggarkan Minggu Hadapan

0
SHARE

WELLINGTON, NEW ZEALAND РPerintah Berkurung akan dilonggarkan minggu depan selepas negara ini mendakwa berjaya menghentikan penularan wabak pandemik COVID-19, kata Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern.

“Kita berjaya melakukannya seperti beberapa negara lain … Kita sudah menghentikan gelombang kehancuran,” katanya.

Ardern yang dipetik AFP berkata bahawa New Zealand akan menurunkan amaran Tingkat Empat maksimum ke Tingkat Tiga mulai 27 April selama dua minggu untuk membuat penilaian.

Kenyataan itu membayangkan bahawa perniagaan yang dianggap selamat dapat dibuka semula begitu juga dengan sekolah, manakala had perjalanan tempatan dilonggarkan dan perhimpunan sehingga 10 orang dibenarkan untuk acara seperti perkahwinan atau pengebumian.

Walaupun sekatan akan dilonggarkan, peraturan penjarakan sosial tetap berjalan seperti biasa.

Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern…

“Saya merasa bangga dengan apa yang kita lakukan bersama sejak dari awal dan merasakan ini tanggungjawab yang besar untuk memastikan apa yang kita capai selama ini tidak berakhir dengan sia-sia,” kata Ardern.

New Zealand kini sudah empat minggu mengenakan perintah berkurung pada akhir Mac termasuk menutup sempadan negara, arahan tinggal di rumah dan menutup semua perniagaan serta perkhidmatan yang tidak penting.

Langkah itu menjadikan ia salah satu negara yang paling berjaya membendung penularan wabak itu dengan sekitar 1,100 kes yang dikesan di antara lima juta penduduk, termasuk 12 kematian dan 974 pesakit yang pulih.

Sebanyak tujuh kes jangkitan baharu disahkan di negara itu hari ini.