Berniaga ‘Umbut Tuhau’ Jana Pendapatan RM4,000 Sebulan

Berniaga ‘Umbut Tuhau’ Jana Pendapatan RM4,000 Sebulan

0
SHARE
Sumber Foto; BERNAMA...

KENINGAU, SABAH – Kejatuhan harga komoditi khususnya getah dan kelapa sawit memaksa anak tempatan Sabah Eka @ Timang Agaras dan suaminya Sirut Sumiloh, 53, untuk berniaga ‘umbut tuhau’ bagi meneruskan kelangsungan hidup mereka sekeluarga.

Namun, hasil mereka berjaya dan berbaloi selepas perniagaan tersebut menghasilkan pendapatan bulanan sehingga mencecah RM4,000 sebulan.

Eka, 52, ibu kepada lapan anak dari Kampung Mosopoh Ulu Nabawan itu berkata, kejayaan beliau untuk keluar daripada kemelut krisis harga komoditi getah terhasil daripada pemikiran kreatif dan tidak terlalu bergantung kepada satu sumber untuk mencari sumber pendapatan.

“Perlu berani secara kreatif untuk mencari kaedah baharu untuk terus hidup… rajin dan jangan mudah mengalah,” katanya kepada Bernama di sini.

Menceritakan kisah awalnya terlibat dalam perniagaan umbut tuhau, Eka yag sentiasa mendapat sokongan daripada suaminya memberitahu bahawa beliau sepakat dengan suami untuk mengeksploitasi pokok tuhau yang tumbuh meliar di kawasan kebun getah untuk dijual di Tamu Minggu Keningau, Tamu Minggu Sook dan Nabawan.

“Usaha kami tidak sia-sia kerana pada hari pertama di tamu minggu Keningau tuhau kami terjual RM400 dalam tempoh beberapa jam.

“Pendapatan itu satu nilai yang lebih besar berbanding ketika kami bergantung kepada pendapatan menoreh getah,” katanya.

Tuhau atau nama saintifiknya ‘etlingera coccinea’ juga dikenali sebagai umbut tepus tumbuh meliar di hutan hujan kepulauan Borneo khususnya daerah Keningau, Nabawan, Tambunan dan Tenom.

Spesies herba daripada keluarga halia itu terkenal di Sabah sebagai makanan kampung yang sesuai untuk pelbagai juadah makanan mengikut citarasa pengguna antaranya boleh dibuat jeruk, serunding dan ulam.

Melihat kepada sambutan yang sangat menggalakkan itu, Eka dan suami meneruskan aktiviti berniaga kecil-kecilan itu tanpa henti sehingga pendapatan mereka mengatasi jangkaan.

Mereka tidak pernah memperoleh pendapatan sebanyak RM4,000 sebulan ketika terlibat aktif sebagai penoreh getah di daerah Nabawan.

Banyak sumber alam di sekeliling kehidupan boleh dijadikan sumber pendapatan sekiranya kreatif dan dengan usaha gigih, katanya.

Eka berkata, beliau dan suami dalam perancangan untuk membangunkan penanaman pokok tuhau komersial di kampung halamannya sebagai keterusan supaya tumbuhan herba itu tidak pupus.

Tuhau keluaran Kampung Mosopoh Nabawan kini sudah mempunyai pengguna tetap dari negeri di Semenanjung seperti Johor.

Sementara itu, Pegawai Pegawai Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Keningau Abd Kassim Salim ketika diminta untuk mengulas mengenai pencapaian pasangan itu berkata pihaknya sentiasa bersedia untuk memberi khidmat nasihat kepada mereka khususnya untuk memasarkan produk berasaskan tuhau ke pasaran yang lebih luas.