Bill Gates Taja Projek Hentikan Pemanasan Global Menggunakan Debu

Bill Gates Taja Projek Hentikan Pemanasan Global Menggunakan Debu

0
SHARE

CAMBRIDGE, ENGLAND – Pengasas Microsoft, Bill Gates baru-baru ini telah menaja satu projek bagi menghentikan kesan pemanasan global dengan menggunakan debu.

Memetik laporan akhbar Daily Mail, projek yang ditaja bilionair tersebut akan menabur berjuta-juta tan debu halus ke dalam atmosfera Bumi dengan menggunakan 800 belon pada ketinggian lebih 19 kilometer dari permukaan Bumi bagi memantulkan sebahagian daripada pancaran cahaya matahari.

Secara teori, kaedah itu akan menghasilkan pelindung tiruan daripada matahari seterusnya mengekang impak pemanasan global.

Ujian pertama Eksperimen Pertubasi Terkawal Stratosfera (SCoPEx) bernilai AS$3 juta (RM12.6 juta) itu bagaimanapun telah ditangguhkan susulan terdapat kebimbangan projek tersebut akan menyebabkan kesan berangkai buruk, mengganggu iklim dunia dan mungkin meragut berjuta-juta nyawa.

“Idea kami memang menakutkan tetapi begitu juga dengan perubahan iklim,” kata seorang pengarah projek tersebut, Lizzie Burns.

Satu badan penasihat yang terdiri daripada pakar-pakar bebas akan menilai dahulu risiko projek tersebut sebelum ia diteruskan.

Inspirasi untuk projek tersebut diambil daripada bencana alam yang berlaku secara semula jadi seperti letusan gunung berapi yang melepaskan kepulan awan debu tebal ke stratosfera, memantulkan cahaya matahari, seterusnya menyebabkan suhu Bumi menurun.

Bagaimanapun, rancangan untuk menghasilkan pelindung tiruan daripada cahaya matahari mungkin membawa impak besar, malah lebih berisiko berbanding perubahan iklim itu sendiri.

Antara kebimbangan utama adalah lapisan debu tiruan itu akan merosakkan lapisan ozon yang melindungi manusia daripada radiasi ultraungu, malah pakar cuaca khuatir eksperimen tersebut mungkin mengubah aliran air laut yang mengawal kitaran cuaca Bumi.