BN Perak Tunggu Lampu Hijau Najib

BN Perak Tunggu Lampu Hijau Najib

0
SHARE
Sumber Foto; FMT

IPOH, PERAK – Barisan Nasional (BN) Perak hanya menunggu lampu hijau dari pengerusi partinya, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mengumumkan calon-calon yang telah dipilih untuk bertanding di negeri itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, pihaknya juga dijangka akan melancarkan manifesto BN peringkat negeri, di sini pada Rabu ini.

“Terima kasih kepada semangat yang ditunjukkan oleh pemimpin-pemimpin utama parti komponen kerana memberikan perspektif luas untuk memastikan kita menang. Ia bukan lagi persoalan kuota atau kerusi itu dimiliki oleh sesebuah parti tapi kita bincang semuanya dalam konteks untuk memang.

“Ia (senarai calon) agak awal nak diumumkan sekarang walaupun proses penamaan calon itu dah siap, ia hanya menanti masa sahaja.

“Kalau ada berita mengatakan (BN) Perak tidak umum nama calon kerana disebabkan masalah dalaman serius adalah tidak benar, seperti diumumkan Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) Perak merupakan antara negeri paling kurang masalah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan ke-21 Majlis Belia Negeri Perak, di sini pada Ahad.

Tambah Menteri Besar Perak itu walaupun dijangkakan pihak pembangkang akan mengunakan isu pengagihan kerusi itu untuk memecah-belahkan BN Perak namun beliau yakin pihaknya tidak akan terkesan.

“Tentunya pihak di sebelah sana akan ambil kesempatan, ada kerusi-kerusi tertentu difikirkan lebih baik diberikan kepada salah satu parti komponen kita bertanding dan mengatakan ini adalah tindakan buli dan sebagainya.

“Ia bukan soal dibuli tapi keputusan itu (pengagihan kerusi) dibuat atas semangat untuk memberikan kemenangan kepada BN dan kita telah mencapai kata sepakat,” katanya.

Mengenai manifeso yang bakal dilancarkan, beliau berkata, ia dirangka bukan hanya sekadar janji semata-mata sebaliknya ia merupakan pelan yang serius demi kemajuan serta masa depan negeri Perak.

“Manifesto kita adalah polisi yang serius untuk masa depan negeri ini, bukan hanya nak umum itu ini kalau menang, BN bukan begitu, kita akan umumkan perkara-perkara demi masa depan daripada segi ekonomi, sosial dan sebagainya.

“Sudah tentu ia juga akan melibatkan orang muda (belia) kita bukan hanya beri harapan, mereka adalah sebahagian daripada kita, ia akan diterjemahkan dalam manifesto itu nanti,” tambahnya.