Britain Dijangka Pulih Dari COVID-19 Menjelang Krismas Tahun Ini – PM Britain

Britain Dijangka Pulih Dari COVID-19 Menjelang Krismas Tahun Ini – PM Britain

0
SHARE
Boris Johnson...

LONDON – Perdana Menteri Britain, Boris Johnson, semalam menjangkakan negara itu kembali pulih daripada wabak COVID-19, pada perayaan Krismas akan datang.

Bagaimanapun, beliau tetap bimbang kemungkinan berlaku gelombang kedua pandemik itu sepanjang musim sejuk.

Johnson yang dipetik AFP turut merangka jadual bagi membuka semula sektor yang masih disekat berikutan langkah perintah berkurung yang dilaksanakan di England, termasuk peraturan bekerja dari rumah dan pembukaan semula stadium sukan serta premis teater.

“Saya sangat berharap kita mampu untuk meneliti semula sekatan yang masih dibuat dan membenarkan lebih banyak kelonggaran ke arah kehidupan normal pada November nanti.

“Berkemungkinan ia mampu direalisasikan pada Krismas nanti,” katanya.

Buat masa ini, kerajaan menggalakkan pekerja bekerja dari rumah.

Bagaimanapun, Johnson berkata, dalam cadangan terbaharu, majikan boleh mengikut budi bicara mereka sama ada keadaan dikira selamat atau sebaliknya bagi memulakan operasi kerja dari pejabat, mulai 1 Ogos ini.

Katanya lagi, dalam masa sama rakyat masih boleh bekerja dari rumah.

Pada tarikh sama, pusat rekreasi akan kembali dibuka dengan pematuhan kepada penjarakan sosial.

Kebimbangan munculnya gelombang kedua pandemik itu diperkatakan semula minggu ini apabila kumpulan saintis berkata, kira-kira 120,000 orang dijangka meninggal dunia di hospital bagi tempoh September hingga Jun tahun depan.