BSH 2019 Fasa Pertama Mula Dibayar 28 Januari Ini – Lim Guan...

BSH 2019 Fasa Pertama Mula Dibayar 28 Januari Ini – Lim Guan Eng

0
SHARE
Lim Guan Eng...

PUTRAJAYA – Menteri Kewangan Lim Guan Eng mengumumkan bahawa pembayaran bagi Bantuan Sara Hidup (BSH) 2019 fasa pertama sebanyak RM300 bagi setiap isi rumah akan dilaksanakan pada 28 Jan, Isnin ini.

Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) yang kini telah ditukar nama kepada Bantuan Sara Hidup (BSH) akan dibayar berdasarkan pangkalan data lama dan kaedah lama sepertimana yang telah dilaksanakan oleh kerajaan terdahulu yang dipimpin oleh Barisan Nasional (BN).

Lim Guan Eng menagatakan bahawa pembayaran BSH 2019 fasa pertama ini dijangka memanfaatkan sehingga 4.1 juta isi rumah serta melibatkan peruntukan berjumlah RM1.2 bilion.

“Bayaran akan dimasukkan terus ke dalam akaun bank mereka,” kata Lim Guan Eng dalam satu kenyataan hari ini mengumumkan pembayaran fasa pertama BSH itu.

Lim Guan Eng turut berkata kerajaan terpaksa menggunakan pangkalan data lama, yang kemungkinan besar mengandungi nama penerima yang tidak layak, bagi membolehkan bayaran dibuat sebelum Februari.

“Proses pemutihan yang akan mengeluarkan nama penerima yang tidak layak kerana mereka bukannya daripada golongan B40 memerlukan masa yang panjang untuk dilaksanakan,” katanya.

Tambah beliau, setelah pangkalan data dikemas kini, baki bayaran BSH yang akan disalurkan pada fasa kedua dan ketiga menggunakan kaedah baharu seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2019.

“Proses kemas kini data perlu dilaksanakan untuk pembayaran BSH fasa kedua dan ketiga selaras dengan penambahbaikan program BSH secara lebih bersasar dan bergantung kepada saiz isi rumah,” katanya.

Kriteria pembayaran dan kaedah baharu akan diumumkan dalam jangka masa terdekat, katanya.