BSN Wujudkan Hampir 350,000 Akaun Baharu Untuk Penerima BSH

BSN Wujudkan Hampir 350,000 Akaun Baharu Untuk Penerima BSH

0
SHARE

PUTRAJAYA – Hampir 350,000 akaun bank baharu diwujudkan secara automatik oleh Bank Simpanan Nasional (BSN) atas nama isteri pemohon Bantuan Sara Hidup (BSH) yang sebelum ini gagal menerima bantuan itu kerana mendaftar nombor akaun salah.

Perkara ini disahkan okeh Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan, hari ini, bahawa akaun baharu itu diwujudkan bermula pada hari semalam bagi membolehkan Bantuan Sara Hidup (BSH) berkenaan dikreditkan terus ke dalam akaun mereka berikutan nombor akaun bank yang didaftarkan sebelum ini tidak tepat.

“Seperti diumumkan Kementerian Kewangan pada 31 Mei lalu, daripada 3.6 juta isi rumah yang diluluskan BSH 2019, ada 0.3 juta penerima tidak dapat dikreditkan bayaran BSH ke dalam akaun bank.

“Sebab utama bayaran gagal dikreditkan ialah nombor akaun bank yang didaftarkan tidak tepat apabila ada antara pemohon mengisi nombor akaun bank suami dalam ruangan yang sepatutnya diisikan nombor akaun bank isteri.

“Bagi golongan itu yang gagal dikreditkan ke dalam akaun bank, adalah dimaklumkan bahawa BSN berjaya mewujudkan hampir 350,000 akaun bank baharu secara automatik mulai semalam atas nama isteri pemohon BSH.

“Sehubungan itu, penerima berkenaan boleh hadir ke cawangan BSN bagi urusan pengaktifan akaun dan seterusnya pengeluaran tunai daripada akaun mulai hari ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambahan dalam kenyataan tersebut, untuk sebarang pertanyaan lanjut, boleh menghubungi talian bebas tol 1800-88-2747 dan emel ke: bsh@treasury.gov.my.