Buka Keanggotaan UMNO Kepada Kaum Lain – Adnan Yaakob

Buka Keanggotaan UMNO Kepada Kaum Lain – Adnan Yaakob

0
SHARE

KUALA LUMPUR – UMNO perlu mengkaji semula Perlembagaan parti dan disaran membuka keanggotaan kepada kaum lain sebagai langkah transformasi untuk memperkukuh kedudukan parti berkenaan di persada politik tanah air.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob berkata UMNO tidak boleh lagi dilihat sebagai parti yang hanya menjaga kepentingan kaum Melayu semata-mata.

“Mungkin kita kena ikut balik semasa zaman Allahyarham Datuk Onn Jaafar yang buka (keahlian) kepada semua kaum…

“Tidak ada lagi hak istimewa. Hak istimewa untuk orang susah. Kalau orang Melayu susah tolong orang Melayu, orang Cina susah tolong orang Cina dan orang India susah tolong orang India,” katanya pada Majlis Pengumuman Calon Pemilihan UMNO di sini, hari ini.

Adnan, bagaimanapun menegaskan dua perkara iaitu kedudukan agama Islam dan keistimewaan Raja-Raja Melayu wajib dipertahankan dan tidak boleh dikompromi.

Onn Jaafar yang merupakan pengasas dan Presiden UMNO pernah mencadangkan supaya keanggotaan parti dibuka kepada semua penduduk Tanah Melayu tanpa mengira kaum kerana kecewa dengan dasar-dasar perkauman yang dikatakan menjadi teras kepada UMNO ketika itu.

Bagaimanapun, cadangan itu ditentang dan beliau meletak jawatan sebagai presiden UMNO semasa persidangan Majlis Mesyuarat Agung Keenam pada 1951.

Ditanya mengenai cadangan sesetengah pihak untuk mengangkat Tengku Razaleigh Hamzah sebagai Presiden UMNO, Adnan berkata sesiapa sahaja layak untuk bertanding jawatan tersebut termasuk Anggota Parlimen Gua Musang itu dan juga bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Sekarang semua layak (calon presiden). Cuma sanggup atau tidak sanggup sahaja,” katanya.

– BERNAMA