Bursa Malaysia Dijangka Lemah Dan Merosot Minggu Depan

Bursa Malaysia Dijangka Lemah Dan Merosot Minggu Depan

0
SHARE

KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia dijangka didagangkan lemah minggu depan, merosot ke paras sokongan 1,590, dengan sentimen terjejas disebabkan kemajuan perlahan dalam rundingan perdagangan antara US-China, serta data ekonomi China yang lebih lemah berbanding jangkaan.

China mengumumkan pertumbuhan keluaran perindustrian yang mengecewakan, sebanyak 4.7 peratus pada Oktober, lebih rendah daripada pertumbuhan median 5.4 peratus dalam tinjauan Reuters, manakala pengembangan jualan runcit untuk bulan yang sama juga tidak memenuhi jangkaan pasaran manakala pertumbuhan pelaburan mencecah paras terendah dalam tempoh dua dekad.

“Kebimbangan yang semakin meningkat terhadap kelembapan ekonomi global disebabkan oleh ketidaktentuan dalam rundingan perdagangan US-China dan ketegangan geopolitik di Hong Kong, akan terus menjejaskan sentimen perdagangan.

“Oleh kerana risiko ketidaktentuan akibat perang perdagangan Amerika Syarikat yang masih menjadi kebimbangan, adalah lebih baik bagi pelabur untuk menolak risiko dengan mengehadkan pendedahan global mereka,” kata Naib Presiden Kanan (Pelaburan) Phillip Capital Management Datuk Dr. Nazri Khan Adam Khan kepada Bernama.

Beliau mencadangkan pelabur memilih saham patuh Syariah tempatan termasuk Jaks Resources Bhd. (pembinaan) dan Notion Vtec Bhd. (teknologi).

Mengenai asas utama, Nazri berkata, kaunter berkaitan perladangan dijangkakan menyokong indeks disebabkan prospek positif industri tersebut.

Antara lain, Malaysia menandatangani perjanjian dengan pengurus rantaian bekalan yang penting bagi eksport minyak sawit tahun depan di rantau Asia Selatan, di tengah-tengah gesaan persatuan perdagangan India supaya memulaukan minyak sawit Malaysia serta potensi pengguguran bahan api biofuel sawit oleh Kesatuan Eropah.

Pada masa yang sama, perjanjian turut ditandatangani bersama Bursa Komoditi Bohai China, yang bertujuan untuk mengimport kira-kira 1.5 juta tan minyak sawit ke China menjelang 2020.

“Selain itu, India kembali membeli minyak sawit Malaysia dengan diskaun yang ditawarkan kepada penapis India (lebih daripada bekalan dari Indonesia) selepas hampir sebulan dan menguncup sekitar 70,000 tan penghantaran pada Disember. Belian baharu oleh India itu, yang merupakan import minyak sawit terbesar Malaysia, boleh menyokong harga minyak sawit negara, yang didagangkan hampir ke paras tertinggi dalam tempoh dua tahun,” katanya.

Sementara itu pada Jumaat, Bank Negara Malaysia mengumumkan keputusan suku ketiga keluaran dalam negara kasar, yang menyaksikan pertumbuhan 4.4 peratus (4.4 peratus pada Q318) berbanding 4.9 peratus pada suku kedua.

Seorang peniaga berkata, laporan bank pusat bahawa penggunaan swasta turun mendadak kepada 7.0 peratus, selain perang perdagangan US-China masih berterusan. data import dan eksport akan terus menyaksikan penurunan kerana ia adalah sektor yang pertama terjejas.

KLCI dijangka didagangkan dalam aliran harga menurun minggu depan ekoran data tempatan yang lemah, unjuran perdagangan dan ekonomi tempatan. Ia dijangka bergerak antara 1,580-1,595.

Bagi minggu yang baru berakhir, Bursa Malaysia kebanyakannya lebih rendah, menjejaki pasaran saham Asia yang lemah dengan faktor luaran termasuk data ekonomi utama yang lemah dan perang perdagangan AS-China yang sedang berjalan.

Pada asas Jumaat ke Jumaat, FBM KLCI turun 14.98 mata kepada 1,594.75 daripada 1,609.73 sebelum ini.

Di papan skor, Indeks FBM Emas merosot 81.95 mata kepada 11,313.77, Indeks FBMT 100 menyusut 81.25 mata kepada 11,125.81 dan Indeks FBM Emas Shariah merosot 57.83 mata kepada 11,835.95.

FBM 70 susut 7.08 mata kepada 14,095.48 dan Indeks FBM Ace turun 60.34 mata kepada 4,920.07.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 159.82 mata kepada 15,611.73, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 1.57 mata kepada 153.38 namun Indeks Perladangan meningkat 53.39 mata kepada 6,928.54.

Jumlah dagangan mingguan merosot kepada 11.90 bilion unit bernilai RM8.56 bilion daripada 13.80 bilion unit bernilai RM9.88 bilion minggu lepas.

Jumlah dagangan Pasaran Utama merosot kepada 7.70 bilion unit bernilai RM7.61 bilion daripada 9.55 bilion unit bernilai RM8.8 bilion.

Jumlah dagangan waran meningkat kepada 1.6 bilion unit bernilai RM332.93 juta berbanding 1.59 bilion unit bernilai RM291.98 juta sebelumnya.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE merosot kepada 2.59 bilion unit bernilai RM611.58 juta daripada 2.65 bilion bernilai RM760.66 juta.