Cadangan Kerajaan PH Kurangkan Saiz Penjawat Awam Tidak Jejaskan Penyertaan OKU –...

Cadangan Kerajaan PH Kurangkan Saiz Penjawat Awam Tidak Jejaskan Penyertaan OKU – TPM

0
SHARE
Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail...

KUALA LUMPUR – Dasar satu peratus (1%) penyertaan Orang Kurang Upaya (OKU) dalam sektor perkhidmatan awam tidak akan terjejas sekiranya cadangan kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk mengurangkan saiz penjawat awam dilaksanakan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang dipetik Bernama berkata jawatan yang telah dikhususkan untuk OKU akan tetap dikekalkan.

“Kita (kerajaan) hendak ramai lagi OKU menyertai perkhidmatan awam. Sekarang ini pun belum lagi penuh (satu peratus) jadi tempat-tempat yang boleh dikhususkan untuk OKU kita kekalkan,” katanya kepada pemberita selepas majlis Anugerah Pencapaian Kecemerlangan Persatuan Orang Buta Malaysia (MAB) 2017/2018, di sini hari ini.

Dr Wan Azizah berkata kerajaan juga memberi tumpuan untuk memenuhi sasaran dasar satu peratus OKU dalam perkhidmatan awam sebelum merancang untuk meningkatkan sasaran itu.

Tambah beliau, pelbagai usaha diambil kerajaan bagi menggalakkan penyertaan golongan OKU dalam sektor swasta termasuk pengecualian cukai terhadap majikan yang mengeluarkan belanja untuk keperluan pekerja OKU.