Cadangan Mansuh Permit Import, Harga Barang Tidak Akan Turun Ketara

Cadangan Mansuh Permit Import, Harga Barang Tidak Akan Turun Ketara

0
SHARE
Prof Datuk Dr Mustafa Mohd Hanefa...

SHAH ALAM, SELANGOR – Harga barang tidak akan turun dengan ketara jika cadangan memansuhkan Permit Import (AP) dilaksanakan.

Memetik kenyataan akhbar Sinar Harian, Profesor di Fakulti Ekonomi dan Muamalat Universiti Sains Islam Malaysia, Prof Datuk Dr Mustafa Mohd Hanefa berkata, AP hanya melibatkan barang import dan merupakan sebahagian faktor kenaikan harga barang.

Katanya, ia juga belum lagi mengambil kira sistem percukaian, Cukai Jualan dan Perhidmatan (SST) yang dijangka bakal diperkenalkan semula September ini, sekali gus memberi kesan kepada harga barang.

“Bagi saya, kesannya (harga barang turun) tidaklah ketara sangat, tambahan pula sekarang tiada Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST). Apabila SST dikembalikan nanti dengan kadar yang masih lagi belum diketahui, ia akan mempengaruhi harga barang.

“Jika kadar SST nanti dikenakan pada kadar enam peratus, tidak ada implikasi yang teruk ke atas pengguna. Namun jika kadar lama 10 peratus digunakan, maknanya (harga) tak turunlah,” katanya kepada Sinar Harian ketika diminta mengulas tentang sejauhmana penurunan harga barang selepas AP dimansuhkan.

Dalam Wacana Sinar Harian ke-63 Khamis lalu, Pengarah Urusan Mydin, Datuk Wira Dr Ameer Ali Mydin berpendapat pemansuhan AP akan membolehkan harga barang turun dan membawa manfaat lebih menyeluruh kepada pengguna sekiranya dilaksanakan.

Mustafa berkata, harga barang bukan ditentukan oleh GST atau AP semata-mata, sebaliknya ia turut dipengaruhi mata wang asing, produktiviti dan lain-lain.

“Kalau melibatkan import, kita banyak gunakan mata wang dolar Amerika Syarikat (AS$). Sekarang AS$1 bersamaan RM4.05. Bila (barang) sudah masuk Malaysia, harganya akan jadi tinggi.

“Namun, saya difahamkan kementerian (kerajaan) akan cuba mengurangkan import dan meningkatkan pengeluaran dalam negara. Kita harap (usaha ini) akan mengurangkan kos barang-barang,” katanya.

Dalam pada itu, Mustafa berkata, pemansuhan AP akan menyebabkan kerajaan kekurangan sumber pendapatan negara.

“Jika kerajaan hendak mendapatkan hasil lagi, mereka boleh kaji bagaimana import barangan ini jika diberikan kepada semua orang, bukan lagi kepada hanya beberapa pihak seperti dulu. Kerajaan boleh lihat apa kekuatannya jika hendak lakukan perkara ini,” katanya.