Cadangan Sambut Hari Kebangsaan, Hari Malaysia Secara Besar-Besaran – Gobind Singh

Cadangan Sambut Hari Kebangsaan, Hari Malaysia Secara Besar-Besaran – Gobind Singh

0
SHARE
Gobind Singh Deo...

SERI KEMBANGAN – Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo mengemukakan cadangan supaya sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia yang dianjurkan di peringkat nasional oleh kerajaan setiap tahun, turut disambut secara besar-besaran di peringkat negeri, mulai tahun hadapan.

Gobind berkata beliau akan membentangkan kertas cadangan berkenaan kepada Kabinet dalam masa terdekat.

“Ini satu perkara sangat penting, kita pergi Kota Kinabalu semalam, saya tengok sambutan sangat luar biasa semua tunjukkan semangat kemalaysiaan kita…

Saya tengok ini satu perkara penting kita perlu pastikan dua tarikh ini disambut besar-besaran di setiap negeri. Ini adalah pandangan saya selaku Menteri Komunikasi dan Multimedia,” katanya kepada pemberita.

Beliau yang juga merupakan Anggota Parlimen Puchong itu ditemui selepas merasmikan sambutan Hari Malaysia peringkat Parlimen Puchong yang dianjurkan buat kali ketiga di sini, hari ini.

Hari Kebangsaan disambut rakyat Malaysia pada setiap 31 Ogos, manakala Hari Malaysia pada 16 September…

Mengenai isu ketirisan dana Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) yang pernah didedahkannya sebelum ini, Gobind berkata beliau tidak akan berkompromi dalam hal berkenaan dan akan bertindak tegas.

“Apabila berlaku ketirisan ia akan membawa kepada kekurangan dana yang sepatutnya boleh disalurkan kepada pihak-pihak berkebolehan dan mereka ini, mereka akan kehilangan peluang.

Saya tidak akan benarkan perkara ini berlaku, saya tegas dan tidak akan kompromi dalam hal ini. Apabila kita dapati ada keadaan-keadaan yang luar biasa laporan-laporan akan dibuat dan saya akan minta pihak berkuasa ambil tindakan tegas,” katanya.

Gobind sebelum ini dilapor berkata wujud banyak masalah dalam cara dana kerajaan kepada agensi itu disalurkan dan mahu supaya pengstrukturan semula secara besar-besaran dilakukan melibatkan tadbir urus agensi berkenaan.

– BERNAMA