Cadangan Syed Saddiq Bawa Masuk BTS Ditolak Majlis Senator Malaysia

Cadangan Syed Saddiq Bawa Masuk BTS Ditolak Majlis Senator Malaysia

0
SHARE

KUALA LUMPUR – Cadangan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang ingin membawa kumpulan penyanyi popular dari Korea Selatan, BTS ke negara ini sempena Tahun Melawat Malaysia 2020 ditolak sepenuhnya oleh Majlis Senator Malaysia.

Ini selepas Presidennya iaitu Datuk Seri Khairudin E. S. Abd. Samad mengeluarkan satu kenyataan bahawa cadangan itu dilihat kurang tepat dan kurang bijak dalam mempromosikan kepelbagaian budaya tempatan termasuklah industri muzik kepada pelancong asing yang datang ke negara ini.

“Dasar kita (kerajaan) sekarang adalah untuk memberi peluang pekerjaan kepada orang tempatan, maka, kita juga perlu menumpukan kepada artis-artis tempatan. Jadi mengapa perlu bawa artis daripada luar negara kerana itu tidak wajar untuk promosi budaya kita sempena tahun melawat Malaysia.

“Kita nak memperkenalkan negara kita, seharusnya kita mempelbagaikan lagi segalanya daripada penggiat-penggiat tempatan, termasuk artis-artis tempatan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri persidangan Dewan Negara, di sini hari ini.

Terdahulu, vokalis rock kumpulan lagenda Wings, Awie turut menyelar tindakan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang cuba mempromosikan negara ini dengan membawa artis luar daripada Korea tersebut.

Jelas Awie atau nama sebenarnya Datuk Ahmad Azhar Othman menagatakan bahawa Syed Saddiq yang juga Menteri Belia dan Sukan menunjukan bahawa beliau tidak tahu taraf sebilangan pemuzik tanahair sebenarnya setanding di peringkat antarabangsa.

Tambah Awie, beliau menyarankan agar Syed Saddiq perlu menumpukan perhatian kepada tugas hakikinya sebagai Menteri Belia dan Sukan agar pembangunan para atlet negara dan kemajuan sukan negara dapat dipertingkatkan di persada dunia.

April lepas, Syed Saddiq dilaporkan berkata, dengan kedatangan BTS, ia mampu menarik lebih ramai pelancong asing dan dilihat sebagai satu pelaburan yang menguntungkan buat negara serta mengubah trend agar Malaysia menjadi pilihan destinasi konsert antarabangsa.