Calon BN Menang Bergaya Tewaskan PH Di Cameron Highland

Calon BN Menang Bergaya Tewaskan PH Di Cameron Highland

0
SHARE
Calon Barisan Nasional (BN), Ramli Mohd Noor...

CAMERON HIGHLAND, PAHANG – Seperti yang dijangkakan, Barisan Nasional (BN) telah memenangi kerusi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Parlimen Cameron Highland dengan kemenangan yang besar serta majoriti yang besar.

Ini selepas, calon Barisan Nasional (BN), Ramli Mohd Noor berjaya mengekalkan kerusi Parlimen Cameron Highlands apabila meraih 12,038 undi untuk mengalahkan calon Pakatan Harapan (PH), M Manogaran (8,800 undi) dan dua calon Bebas, Sallehudin Ab Talib (314 undi) dan Wong Seng Yee (276 undi).

Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Cameron Highlands, Datuk Ishak Md. Napis mengumumkan keputusan tersebut pada pukul 8.30 malam di Pusat Penjumlahan Undi di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ahmad Shah Tanah Rata.

Ishak berkata, sebanyak 21,428 orang telah keluar mengundi pada PRK kali ini, jumlah undi ditolak 568, kertas undi tidak dikembalikan sebanyak 23 dan peratusan keluar mengundi sebanyak 68.79 peratus.

Selain mencapai majoriti 3,238 undi pada PRK kali ini di mana pencapaian yang tertinggi sejak pilihan raya umum pada 2008 (3117 undi), 2013 (462 undi) dan 2018 (597 undi), Ramli juga turut mencatat sejarah menjadi wakil Orang Asli pertama di Dewan Rakyat.

Turut hadir meraikan kemenangan BN ialah Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, Naib Presiden UMNO yang turut menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden parti, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa.

Kemenangan calon Barisan nasional (BN) N itu disambut dengan laungan takbir dan “HIDUP BN”.

PRK Cameron Highland diadakan selepas Mahkamah Pilihan Raya pada 30 November lalu mengisytiharkan kemenangan Datuk C Sivarraajh daripada BN dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) Mei tahun lalu, terbatal dan tidak sah apabila didapati berlaku amalan rasuah untuk mempengaruhi pengundi di kawasan itu.

Sivarraajh, pada PRU lalu yang berdepan saingan lima penjuru, menang di kerusi itu selepas memperoleh 10,307 undi, manakala Manogaran meraih 9,710 undi. Calon PAS, Wan Mahadir Wan Mahmud memperoleh 3,587 undi; Parti Sosialis Malaysia (PSM), B Suresh Kumar (680 undi) dan calon Berjasa, Mohd Tahir Kassim, 81 undi.

Selepas PRU14, ini merupakan PRK ke-5 susulan daripada PRK di Sungai Kandis, Seri Setia dan Balakong di Selangor serta Port Dickson di Negeri Sembilan.