Ceramah Kerjaya FKJ Sokong Usaha Tingkat Kebolehpasaran Graduan

Ceramah Kerjaya FKJ Sokong Usaha Tingkat Kebolehpasaran Graduan

0
SHARE
Para Peserta Ceramah Kerjaya Kejuruteraan Awam 2018 merakamkan gambar kenangan...

KOTA KINABALU, SABAH – Ceramah Kerjaya Kejuruteraan Awam 2018 yang dianjurkan pelajar tahun tiga kursus Kejuruteraan Awam, Fakulti Kejuruteraan (FKJ) Universiti Malaysia Sabah (UMS) baru-baru ini mampu menyokong usaha meningkatkan kebolehpasaran graduan dalam industri apabila menamatkan pengajian kelak.

Ketua program ceramah kerjaya tersebut, Nur Farah Adlin Misri berkata, program yang berlangsung di Auditorium Perpustakaan UMS itu adalah bertujuan untuk memberi pendedahan dan pengetahuan alam pekerjaan serta petua untuk mencari kerja kepada para pelajar khususnya yang mengambil bidang Kejuruteraan Awam.

“Antara penceramah yang dijemput adalah Andrew Lim Chung Han, seorang pensyarah yang berpengalaman selama 10 tahun dalam bidang Lukisan Kejuruteraan dan Pengurus Besar Kumpulan Liziz Sdn. Bhd., Ir. Dr. Chidambaram Ramanathan.

“Melalui ceramah informatif yang disampaikan, pelajar bukan sahaja dapat meningkatkan kefahaman yang mendalam mengenai profesion jurutera, malah program ini juga mampu membina semangat para pelajar dalam mengenal pasti potensi diri dan juga memilih kerjaya yang sesuai dengan bidang yang diceburi,” katanya.

Tambahnya lagi, antara pengalaman yang dikongsi dalam ceramah tersebut adalah teknik berhadapan dengan masalah di tempat kerja dan penyelesaian terbaik bagi menangani masalah tersebut serta etika yang perlu diperlu diambil perhatian demi membentuk seorang jurutera yang berintegriti tinggi.

Sementara itu, Dr. Chidambaram berkata aktiviti seperti ini amat bermanfaat kepada siswa-siswi kerana inti pati program ini mampu membuka minda para mahasiswa sebagai persediaan memasuki ke alam pekerjaan.

“Program seperti ini perlu diteruskan dengan melibatkan lebih ramai siswa-siswi agar mereka mendapat pendedahan yang berguna sebagai persediaan menceburi bidang dan industri berkaitan kejuruteraan,” ujar beliau.

Lebih 150 pelajar program Kejuruteraan Awam hadir pada program tersebut.