Chegubard Didakwa Terbitkan Kenyataan Menghasut Institusi Di Raja Selangor

Chegubard Didakwa Terbitkan Kenyataan Menghasut Institusi Di Raja Selangor

0
SHARE

SHAH ALAM, SELANGOR – Bekas Ketua Cabang PKR Rembau, Badrul Hisham Shaharin, 40, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan menggunakan perkataan menghasut terhadap institusi diraja Selangor melalui artikel di laman sosial Facebook miliknya, Januari lalu.

Tertuduh dikenali Chegubard yang merupakan penyelaras Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rihaida Rafie.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa menerbitkan tujuh kenyataan menghasut melalui laman sosial Facebook miliknya terhadap institusi diraja Selangor.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah bernomborĀ 47, Jalan Kuarza 7/9, Seksyen 7, Shah AlamĀ di sini pukul 5 petang pada 11 Januari lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 4(1) (C) Akta Hasutan 1948 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4 (1) akta yang sama yang memperuntukkan hukuman
penjara maksimum sehingga tiga tahun dan denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-dua sekali.

Dalam prosiding tersebut, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Iskandar Ahmad memohon wang ikat jamin RM10,000 dengan pasport antarabangsanya diserahkan kepada mahkamah.

“Jumlah jaminan itu diberikan berikutan tertuduh sepatutnya didakwa semalam namun dia menutup telefon bimbitnya sehingga memaksa pihak pendakwaan menjejakinya sehingga pukul 12 tengah malam.

“Mengikut pengalaman lalu, tertuduh cuba mengelak daripada didakwa di mahkamah” katanya.

Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili Peguam Muhammad Nor Izzat Nordin memohon jaminan dikurang pada kadar antara RM3,000 hingga RM5,000 atas alasan anak guamnya tidak pernah sesekali tidak hadir ke mahkamah pada tarikh yang ditetapkan.

“Semua ini berdasarkan rekod terdahulu anak guam saya yang pernah didakwa empat kes lain termasuk Akta Perhimpunan (Aman) dan Akta Polis,” tegasnya.

Mahkamah kemudiannya menetapkan jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin dan pasport diserahkan kepada mahkamah.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 16 Mei depan.